Thursday, June 9, 2011

DISALIN DARI AKHBAR BERITA HARIAN 9.6.11

entry-content'>

Godam: ‘Kalau gitu, saya jadi artis saja’
Bersama Salbiah Ani

2011/06/09
LANGKAH Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abd Aziz, memberi lampu hijau agar dibentuk satu kategori khas untuk lirik lagu dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) pada masa depan masih menimbulkan kemarahan kalangan pengarang kreatif.

Ramai yang menghentam cadangan yang dibangkitkan dalam ruang pojok Godam, ‘Aduhai HSPM, tuah penulis lirik’ bertarikh 26 Mei lalu dan HSPM: Orang sastera `bungkam’ (2 Jun 2011) kerana mereka melihatnya sebagai tidak masuk di akal, lebih-lebih lagi bila DBP yang memberi laluan!
Orang sastera tidak berpuas hati dengan sikap terbuka badan yang bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan negara ini kerana bagi mereka lirik tidak boleh jadi puisi, tetapi puisi boleh jadi lirik kerana keindahan bahasanya.

Antara yang tidak berpuas hati ialah pengarang veteran dari utara tanah air yang menganggap langkah terkini DBP itu sebagai keterlaluan dan tidak bijaksana lagi menghina orang sastera yang sedia terpinggir oleh sistem pendidikan, amalan industri seni negara ini mahupun sikap masyarakat.

“Pelik sungguh saya Puan Salbiah. Mengapa DBP begitu bermurah hati pada penulis lirik yang sedia dihargai ramai pendengar dan industri muzik tanah air. Bukan saja wang ringgit menanti mereka, bahkan royalti sememangnya terjamin kerana majoriti masyarakat hari ini lagu bersemadi dalam diri.

“Apakah DBP lupa atau tidak mengikuti langsung rancangan Fenomena Seni di RTM yang berlangsung selama beberapa tahun, tetapi tidak pernah sekali pun menjemput orang sastera sebagai panel mereka?” katanya meluahkan perasaan yang berbuku di hati sejak sekian lama.

Ada benar juga kemarahan pengarang veteran ini kerana sememangnya program yang menampilkan pelakon dan penerbit filem, Rosyam Nor, itu tidak pernah menampilkan orang sastera dalam apa juga segmen mereka.
Hakikat itu membuktikan betapa sastera tidak dilihat sebagai sebahagian daripada seni sehingga hanya kelompok penyanyi, pelawak dan pelakon yang diberi ruang untuk berdiskusi mahupun melontar pandangan.

Ketika orang sastera terhegeh-hegeh mahukan mereka menerima pengiktirafan sewajarnya, hatta tetap berpuas hati jika sekadar diberi ruang walau seminit dua pada program Fenomena Seni, DBP pula dengan rela hati membuka ‘pintu’ sebaik daun pintu diketuk kelompok terbabit!

Apakah DBP terlepas pandang bahawa penulis lirik sememangnya sedia terbela dan mendapat pengiktirafan saban tahun melalui Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP), Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM)?

Selain habuan wang tunai dalam pengiktirafan seumpama itu, kesempatan penulis lirik meraih royalti melalui penyiaran lagu juga terbuka di 22 saluran yang bernaung di bawah RTM dan ini belum diambil kira stesen radio swasta!

Malah, mereka juga berpeluang mengejar habuan menerusi pertandingan peringkat dunia, Muzik Dunia - Pertandingan Mencipta Lagu Antarabangsa (ISC) yang menyaksikan peserta Malaysia, Amirah Ali, menang tempat kedua pada tahun ini lewat lagunya Katakanlah.

Kelompok ini juga banyak menerima ‘pengiktirafan’ baik dalam media cetak mahupun elektronik sehingga berderet-deret mendapat gelaran kebesaran, hatta jika sudah lama bersemadi di liang lahat dan gelek menawan juga tidak terlepas perhatian sehingga diberi gelar datuk!

Malangnya orang sastera yang bertungkus lumus menghasilkan karya tidak pula diberi perhatian sedemikian rupa dan jumlah mereka mendapat gelaran datuk boleh dibilang dengan jari sedangkan pengetahuan mahupun sumbangan kepada masyarakat bukan calang-calang.

Lihat saja apa yang diterima pengarang veteran yang juga orang kanan akhbar suatu ketika dulu, Adibah Amin, meskipun aktif dalam dunia penulisan dan ruang pojoknya, As I Was Passing, makan tahun sirinya; terkenal dengan novel Seroja Masih Di Kolam serta pernah berlakon dalam Adik Manja, tetapi tiada siapa menghargai apalagi peduli.

Justeru, daripada membentuk kategori lirik lagu dalam HSPM, ada baiknya hadiah kategori eceran merangkumi puisi, cerpen dan kritikan, dilipatgandakan habuannya agar jauh lebih lumayan kerana setidak-tidaknya dengan cara ini pengarang kreatif terdorong menghasilkan karya bermutu.

Pastinya belum terlambat untuk pengarang kreatif, persatuan penulis negeri, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) mengemukakan bantahan kepada DBP!

No comments:


Free shoutbox @ ShoutMix