Saturday, December 17, 2011

OMBAK RINDU YG MEMBADAI...

entry-content'>

Lihat juga sisi positif
Oleh Roslen Fadzil
roslenmetro@yahoo.com
Harian Metro 17 dis 2001

SAYA pernah berkata dalam ruangan Karpet Merah ini dua minggu lalu bahawa Ombak Rindu bukanlah filem yang sempurna. Alasan itu tersangatlah mudah. Ini kerana ia hasil buah fikiran dan kerja tangan manusia. Manusia yang saya maksudkan itu adalah Osman Ali yang dibantu sekumpulan lagi manusia lain yang kreatif.

Namun janganlah kita lupa dengan seorang lagi manusia yang penting dalam melahirkan idea dan cerita asal Ombak Rindu. Beliau tentulah novelis Fauziah Ashari yang saya hormati.

Setakat ini kita sudah lihat bagaimana hebatnya badai Ombak Rindu menghempas panggung. Sambutannya sungguh luar biasa. Kecil besar, tua muda, ramai sungguh yang keluar berbaris membeli tiket dan menonton filem yang mencetuskan fenomena ini.

Ada yang datang dengan nenek, ada yang membawa ayah ibu dan ramai sekali yang ajak kawan-kawan. Bukan saja mereka yang jiwang-jiwang malah saya dengar ramai Abang Motor, Abang Askar dan Mat Rempit pun tewas dengan filem yang melankolia ini.




Sana sini orang bercakap mengenai Maya Karin, Aaron Aziz, Bront Palarae dan Lisa Surihani. Tidak kurang juga yang menyampah dengan jalan gedik Datin Sufiah lakonan Azizah Mahzan.



Namun dalam ramai yang sukakan filem ini, ada juga pihak yang kurang senang di luar sana. Macam-macam komen dilemparkan termasuklah ia filem yang mencemarkan kesucian Islam melalui jalan cerita, perlakuan watak-wataknya. Teruk sangatkah Ombak Rindu?

Bukan saja pengkritik filem, saya lihat ada kelompok orang seni sendiri dengan lancang menghentam filem ini di laman sembang sosial dan mengeluarkan bermacam hujah dan khutbah. Aduh, dah macam ustaz dan ustazah!

Mereka mempersoalkan watak ‘ustazah’ Izzah walhal dia sebenarnya mengikut kata Osman Ali, hanyalah gadis kampung yang ada sedikit pengetahuan untuk mengajar kanak-kanak membaca mukaddam.

Perkara ini biasanya berlaku di kampung. Dengan erti Izzah bukanlah ustazah yang macam di sekolah atau yang beriya-iya memasuki program realiti TV Ustazah Pilihan.

Dari sisi jalan cerita filem Ombak Rindu, Izzah adalah mangsa keadaan atau lebih tepat lagi mangsa lacur ayah saudaranya sendiri. Ia sesuatu yang tidak mustahil berlaku dalam masyarakat kita kerana dugaan hidup buat diri manusia tidak kenal pangkat atau darjat.

Sudah banyak cerita menggemparkan yang kita dengar selama ini berlaku kepada golongan celik agama selain golongan suka bertopengkan Islam untuk kepentingan diri sendiri.

Kita pernah mendengar kisah panas seperti ustaz yang bermain kayu tiga dan penyanyi nasyid yang dikatakan menggoda isteri orang. Ini semua membuktikan kita semua hanyalah manusia yang tidak sempurna. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja - doktor, guru, mekanik, tukang masak, nelayan dan juga wartawan.

Melihat dari sudut cerita Ombak Rindu, Izzah dalam keadaan yang tertekan, akhirnya berjaya juga melembutkan hati Hariz yang hidup bertuankan nafsu agar bernikah dengannya. Semua ini terjadi selepas Hariz melihat Izzah sebenarnya seorang wanita yang mulia dan suci. Ia satu niat dan tindakan Izzah yang amat positif.

Di samping itu, Ombak Rindu juga menonjolkan bahana fitnah dan tamak haloba boleh memporakperandakan kehidupan manusia. Watak hitam ini diserahkan kepada Azizah Mahzan yang dia nyata berjaya memikul tugas itu dan membuatkan penonton jadi meluat.

Saya merasakan Ombak Rindu adalah filem cinta yang berasaskan sebuah novel cinta yang popular. Ia bukanlah filem dakwah yang berat seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, kalau pun hendak diberi misalan.

Watak Izzah adalah watak yang biasa kita lihat di kampung dan wanita bertudung hari ini wujud di mana jua, baik di dalam Parlimen mahupun di pasar borong.

Ombak Rindu bagi saya hanyalah satu cebisan kisah yang dijadikan filem dan ditokok tambah dengan drama, muzik dan dan segala mainan yang mengusik jiwa. Ada masanya kita terasa macam tengok filem Hindustan pula.

Kalau hendak didebatkan dari segi lakonan tanpa pegang-pegang antara lelaki dan wanita, kita bukannya tidak pernah menghasilkan filem seperti itu. Masih ingat filem Syurga Cinta lakonan Awal Ashaari dan Heliza AF? Kenapakah filem itu tidak mengundang debat atau pujian di laman sosial? Sebab ia tidak box-office macam Ombak Rindu?

Apapun, saya harap, janganlah pihak yang berkenaan itu sangka semua penonton Ombak Rindu itu buta hati dan pendek akal. Ramai sekali golongan terpelajar keluar menonton filem itu dan masing-masing boleh menilai sendiri ia hanyalah sebuah filem untuk berhibur dan mendapat beberapa pengajaran daripada kisahnya. Kelemahan yang ada tentu kita akan cuba baiki dalam karya seterusnya
- roslenmetro@yahoo.com

No comments:


Free shoutbox @ ShoutMix