Thursday, December 15, 2011

Rendahnya nilai novel ke filem

entry-content'>

Dari UTUSAN MALAYSIA 14 DIS. 2011

FILEM yang diadaptasi daripada novel atau buku bukanlah perkara baru. Ia sudah lama diamalkan dalam mana-mana industri filem di dunia termasuk di Malaysia. Kebanyakan buku atau novel yang diangkat ke filem adalah karya yang mempunyai tarikan yang tersendiri.

Kalau kurang berkualiti sekalipun, novel yang diangkat biasanya popular di kalangan pembaca. Contohnya, novel cinta yang mudah membuai perasaan. Cuma, tidak semua filem yang diadaptasi daripada novel dijamin mendapat sambutan.

Dalam konteks dunia perfileman tempatan pernah ada beberapa filem yang diangkat daripada novel tetapi gagal di pawagam. Misalnya, Jogho karya S. Othman Kelantan yang difilemkan oleh U-Wei Haji Saari. Filem itu banyak dijaja di festival filem luar negara. Tetapi sayangnya, kutipan tiketnya tidaklah bertaraf box-office.

Bagaimanapun, menjadi bonus jika sesebuah novel itu bukan sahaja mendapat sambutan para pembaca, malah turut bertaraf pecah panggung selepas ia diangkat ke layar perak. Novel Ombak Rindu nukilan Fauziah Ashari adalah salah satu buktinya.

Sejak sembilan tahun lalu lagi, Ombak Rindu sudah berjaya membuatkan penerbit dan penulisnya tersenyum lebar. Sebab itu, apabila ia terpilih untuk diangkat ke layar perak sepatutnya ada kepekaan dan nilai penghargaan yang tinggi pada naskhah itu supaya tidak timbul masalah dan rungutan di kemudian hari.

Ombak Rindu terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. pada 2002 bukan sahaja melayakkan penulisnya mendapat royalti lebih RM219,000 hasil jualan novel itu. Malah, filem Ombak Rindu arahan Osman Ali itu kini mencecah kutipan tiket lebih RM6 juta sejak tayangannya di pawagam 1 Disember lalu.

Senario itu membuktikan keupayaan Fauziah dan Osman dalam menterjemahkan karya itu mengikut medium masing-masing. Namun, apa juga kejayaan filem Ombak Rindu, kredit seharusnya diberikan lebih kepada Fauziah selaku pencetus idea asal naskhah tersebut.

Ini kerana, apabila ada mana-mana penerbit yang berminat mengangkat sesebuah novel ke filem maka sudah semestinya naskhah itu mempunyai tarikan tersendiri. Pihak penerbit mahupun pemegang hakcipta karya itu seharusnya peka dan tahu meletakkan harga produk-produk mereka.

Ia bagi mengelakkan sesebuah karya itu dipandang ringan oleh pihak-pihak lain. Novel sama juga medium lain sebagai salah satu wahana seni yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Dalam isu novel Ombak Rindu tarikan naskhah itu sepatutnya dihargai oleh penerbit.

Soal sebelum ini tiada pihak yang berminat mengangkat novel yang menarik seperti Ombak Rindu menerusi medium drama atau filem tidak timbul. Apa yang penting bukan mudah mahu menggamit emosi para pembaca dalam mengabiskan novel setebal 563 muka surat itu.

Kalau tidak ada penerbit yang berminat mengangkat novel atau buku yang hebat masyarakat keseluruhannya yang akan rugi kerana tidak dapat berkongsi pengalaman daripada cetusan idea-idea daripada adaptasi itu.

Daripada sudut lain ia juga ada kaitan dengan maruah dan taraf novel dan buku itu sendiri dalam konteks sebagai agen membentuk masyarakat membaca. Secara tidak langsung ia seolah-olah memijak peranan dan kekuatan yang ada pada novel lebih rendah daripada filem.

Hakikatnya baik novel mahupun filem kedua-duanya mempunyai peranan tersendiri.

Novel membawa para pembaca menyelami setiap patah perkataan dalam masa berjam-jam atau berminggu-minggu. Tetapi filem mampu menterjemahkannya melalui audio dan visual dalam masa dua jam.

Isu yang tercetus atas kontroversi Fauziah yang mengeluh kerana bayaran royalti yang diberikan oleh penerbit Ombak Rindu sebanyak RM4,000 agak kecil. Ada juga yang kata nasi sudah menjadi bubur apatah lagi ia muncul selepas filem itu mendapat sambutan.

Selepas ini baik penerbit, penulis mahupun pemegang hakcipta sesebuah novel seharusnya meletakkan harga dan maruah atas produk-produk mereka. Soal ada atau tidak penerbit yang mahu mengangkatnya ke medium filem itu perkara kedua.

Jika novel itu layak untuk diangkat ke layar perak, ringgit dan sen bukan persoalannya. Penerbit yang berminat untuk mengadaptasi mana-mana novel ke filem perlu membayar harga yang ditetapkan.

Novel yang menarik tetap hebat di hati pembaca biarpun ia tidak akan popular atau kurang mendapat sambutan di filem.

Apa yang penting novel mempunyai kelas dan peminatnya sendiri. Maruahnya harus dijaga, selain dihargai oleh pihak yang mahu mengangkatnya ke filem.

No comments:


Free shoutbox @ ShoutMix