Monday, October 1, 2007

Sayembara Mengarang DBP - Bagaimana nasib karya pemenang?

entry-content'>

Akhirnya tanda tanya di dalam hati saya terjawab juga selepas membaca rencana kelolaan Encik Azman Ismail di dalam Utusan Malaysia (1 Okt. 2007) berkenaan tajuk di atas. Setelah beberapa kali menerima surat dan 2 kali menandatangani surat perjanjian, saya bertanya kepada pegawai bahagian hak cipta (telefon) bila novel saya Jeriji Kasih yang hanya memenangi hadiah saguhati (novel remaja Sayembara Jubli Emas) akan diterbitkan. Malangnya pegawai terbabit sendiri gagal memberi jawapan yang tepat. Saya pun menyepi. Terus sahaja berkarya tanpa membiarkan fikiran semak memikirkan soal penerbitan novel itu. Mereka tahu apa yang meraka lakukan, itu cara saya membujuk hati. Selepas membaca rencana di akhbar Utusan Malaysia ini saya berasa lega walaupun alasan yang diberi, sedikit melucukan.... Saya tersenyum sendiri sewaktu menyudahkannya. :

Oleh Azman Ismail

PADA Mac lalu, para pemenang Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diumumkan. Para penerimanya terdiri daripada penulis muda dan mapan.

Keputusan DBP menganjurkan sayembara tersebut sangat tepat ketika khalayak sastera tanah air ternanti-nanti karya penulis mapan yang agak jarang diterbitkan oleh media tempatan berbanding tulisan penulis muda.

Selain ia turut mengenang dan mengimbau kembali jasa dan peranan DBP dalam memartabatkan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu sejak 1956.
Dalam aspek karya para pemenang, banyak kekuatan dan idealisme baru yang berjaya dicungkil daripada sayembara tersebut terutama dalam aspek tema, ideologi dan pendekatan dalam penceritaan.

Kreatif

Dengan kata lain, karya-karya yang dipilih sebagai pemenang oleh para panel hakim berjaya mencapai objektif sayembara. Antara lain memperkasa dan memperkaya khazanah kreatif di negara ini.

Sejajar dengan objektif itu, karya-karya para pemenang tersebut akan diterbitkan oleh DBP yang merupakan penganjur tunggal.

Bagaimanapun karya-karya yang dijadualkan diterbitkan pada Julai lalu itu hingga kini masih belum lagi menjadi realisasi.

Namun, hingga kini hanya Hikayat Qaziq yang memenangi tempat pertama Kategori Drama Pentas, karya Siti Jasmina Ibrahim yang dipentaskan, Ogos lalu.

Kategori lain iaitu Novel, Novel Remaja, Puisi dan Cerpen masih menimbulkan tanda tanya. Apa nasib karya-karya tersebut? Bila ia akan diterbitkan? Sedangkan sekarang sudah melangkah ke awal Oktober.

Khalayak pastinya merindukan kehadiran Bedar Sukma Bisu karya Faisal Tehrani yang meraih tempat pertama Kategori Novel atau tulisan Azizi Abdullah, Harga Sebuah Maruah yang memenangi tempat kedua kategori tersebut.

Para pembaca juga tidak sabar menanti buah tangan terbaru Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Mahabbah yang meraih tempat ketiga Kategori Novel. Maklumlah beliau sudah jarang berkarya akibat faktor usia dan kesihatan.

Faizal turut meraih tempat pertama bagi kategori Novel Remaja menerusi Manikam Kalbu dan menduduki tempat kedua kategori Cerpen menerusi karya Rindu Ini Luar Biasa.

Pada sayembara tersebut, tempat kedua kategori Drama Pentas, diraih oleh Mohd. Hatta Azad Khan menerusi Muzika Kampung Baru manakala tempat ketiga dimenangi oleh Dahiri Saini melalui naskhah, Jeda Nur Iman.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga kategori Novel Remaja diraih oleh Nurul Salwa Abdul Muluk (Epilog Sekeping Hati) serta Fatimah Syarha Mohd. Noordin (Seindah Mawar Berduri).
Dalam pada itu, tempat pertama kategori Cerpen dimenangi oleh Baharin Ramly (Di Tengah Arus) manakala tempat ketiga diraih oleh Ahmad Syuhaimi Adnan (Mitigasi Seorang Pejuang Bahasa).

Tempat pertama kategori Puisi pula dimenangi oleh Jamaluddin Darus (Menyisir Tirai Jendela) manakala kedua dan ketiga diraih oleh Ali Bukhari Amir (Balada Burhan di Kota Raya) dan Sahrunizam Abdul Talib (Lidah Ibu).

Persoalannya bila karya-karya tersebut akan diterbitkan? Mungkin ada sebab dan masalah tertentu sedang dihadapi hingga menyebabkan karya- karya itu gagal diterbitkan pada waktu yang dijangkakan.

Tiada kertas?

Alasan yang dikemukakan oleh Dawama Sdn. Bhd. (Dawama) sebagai penerbit ialah ketiadaan kertas. Memang sesuatu yang boleh dipertikaikan. Tidak mungkin sebuah syarikat penerbitan di bawah badan kerajaan menghadapi masalah itu.

Kononnya, semua proses reka bentuk kulit dan pracetak telah disiapkan
sepenuhnya oleh kakitangan syarikat itu. Khabarnya hanya menunggu kertas untuk proses percetakan akhir. Bila bekalan kertas mencukupi, ia dijangka akan diterbitkan selambat-lambatnya November ini.

Memang sesuatu yang melucukan apabila kertas dijadikan alasan. Mungkin khalayak dapat merasakan betapa ‘tidak pentingnya’ penerbitan sesebuah karya sastera diberi keutamaan berbanding tulisan-tulisan lain.

Seharusnya, karya-karya tersebut diterbitkan secepat mungkin kerana ia merupakan sebahagian daripada sejarah jatuh bangunnya DBP dalam memperjuangkan bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Namun, sebagai khalayak sastera tanah air, kita tidak tahu kenapa lebih setengah tahun selepas pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para pemenang, buku-buku tersebut belum diterbitkan.

Jika alasan kertas dijadikan isu, terlalu lamakah untuk mendapat bekalan kertas bagi mencetak tidak sampai 5,000 buku (setiap judul) hingga mengambil tempoh yang agak panjang.
Jangan Dewama dianggap meminggirkan penerbitan karya-karya sastera yang sering sinonim dengan ketiadaan pembaca berbanding buku-buku popular lain.

Sebagai salah seorang pemenang sayembara tersebut, Azizi Abdullah berkata, beliau hanya dimaklumkan oleh Dewama bahawa buku-buku tersebut tidak dapat diterbitkan seperti yang dijadualkan kerana masalah bekalan kertas.

“Saya hanya diberitahu bahawa penerbitan karya-karya yang memenangi sayembara itu ialah pada November ini kerana mereka kehabisan bekalan kertas.

“Selain itu, tidak ada sebarang alasan lain. Saya difahamkan semua reka bentuk kulit buku-buku berkenaan siap sepenuhnya,’’ katanya.

Pemenang utama kategori Puisi, Jamaluddin Darus (Jamaluddin D) pula berkata, beliau sama sekali tidak mempunyai maklumat berhubung penerbitan karya-karya tersebut.

“Saya hanya menerima surat meminta izin penerbitan daripada Dewama. Itu sahaja dan hingga ke hari ini saya tidak tahu status antologi puisi dan lain-lain karya para pemenang,’’ katanya.
Sama seperti Azizi, kita mengharapkan pada November nanti, penerbitan karya-karya sayembara itu menjadi kenyataan walaupun sekitar lapan bulan selepas nama pemenang diumumkan.

Setidak-tidaknya sastera Melayu masih dihargai walaupun Dewama terpaksa berhadapan dengan pelbagai kendala khususnya ketiadaan bekalan kertas!

5 comments:

mohamadkholid said...

alahai, saya dah mimpi-mimpi novel tu nak keluar...

Zalisa Maz@ZN Isa said...

Habis kertas? Wakakaka.... Ini mesti syarikat penerbitan swasta yang bagi perabih :D

Rasha_rz said...

Entahlah Kholid. Kelakar pun ada. Sebelum Zalisa tertawa, entah berapa ramai lagi yang terbahak2. Itulah pasal, jangan tebang pokok sesuka hati. Tengok!dah tak boleh buat kertas.

Serunai Faqir aka SF said...

Selamat hari raya kak ...
Ala biasalah alasan2 mcm tu, kita maklum sangat kannnnnnnnn ...

SF

Rasha_rz said...

Selamat aidilfitri SF.Kita tahu itu hanya alasan. Tapi carilah alasan yang cantik sikit, kan?.....


Free shoutbox @ ShoutMix