Sebentar tadi saya menghadiri ceramah motivasi berkenaan BUDI BAHASA AMALAN MULIA di dewan di tempat kerja. Apa yang menarik minat saya dan mahu berkongsi serta mengabadikannya di sini bukan ceramah panjang oleh ketua nombor 2 di jabatan kerajaan tempat kerja saya itu (wanita Melayu), kerana ceramah itu panjangnya dari jam 2.30 petang hingga ke 4.30 petang. Terlalu banyak yang diperkatakan ketua wanita itu tanpa diganti sesiapa. Tetapi ianya hanya isi biasa yang sering dicakapkan ketua2 jabatan kerajaan. Sudah sering saya mendengarnya tetapi baik juga diperdengarkan selalu kerana ingat mengingat itu alaman mulia. Tahniah padanya berjaya memasung punggung kakitangan bawahan secara paksa dan separuh paksa (itu hanya senda saya sendiri)..........
Berbalik kepada pantun budi bahasa beliau. Bunyinya begini :
YANG MERAH ITU SAGA
YANG KURIK ITU KENDI
YANG INDAH ITU BAHASA
YANG ELOK ITU BUDI.
Hah! Apa sebenarnya yg mahu disampaikan di depan hampir 400 orang kakitangan bawahannya? Serangkap pantun indah itu ditulis di papan putih siap dengan gambar kartun2. Dan perkataan Merah itu sendiri dimerahkan dan dibesarkan. Cukup menarik dan hampir 400 pasang mata menujah, memamahnya mungkin lebih dari sekali. Dan beliau sendiri mengulang baca juga lebih dari sekali.
Saya sendiri membaca serta mengeja berulang kali. "Kenapa pantun budi bahasa itu tampak janggal?" bisik saya pada rakan sebelah.Rakan itu turut membaca berulang kali. "Ha, memang macam ada yg tak kena." Rakan saya turut bersetuju. Akhirnya saya tersenyum.
"Pantun tu sudah ditonggang terbalikkan" bisik saya lagi. Saya menyangka Pengurus itu sengaja mahu menguji minda kami semua. Almaklum semua sedang keletihan..........
Tapi sehingga ke akhirnya dan skrin ditutup, langsung tidak ada sebarang ujian berkenaan pantun itu malah dia sekali lagi membacakannya pada kami. Dengan bangganya dia mengatakan, itu pantun Melayu lama. Cantik sekali dan baik untuk panduan.
Bagaimana pantun yg sebenarnya? Mari kita semak dalam buku pantun Melayu Lama. Saya sudah menemuinya sepulang jam 5 petang tadi. Walaupun sudah lama mengguna serangkap itu, tetapi setiap kata2 kita mesti berfakta. Hasil semakan saya, pantun itu bunyinya begini :
YANG KURIK ITU KUNDI,
YANG MERAH ITU SAGA,
YANG BAIK ITU BUDI,
YANG INDAH ITU BAHASA.
Dan, saya bercadang mahu menghadiahkan buku pantun di hari ulangtahun kelahiran Pengurus itu nanti. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment