Ha, ternyata langit di sana dengan langit di sini, sama. Cuma tatkala merenung langit Malaysia, fikiranku lebih tenteram, meski diganggu kesal berpanjangan. Namun meski langit itu menyimpan beribu cerita duka, masih juga melakar titik-titik memori yang manis, senyum terkulum senang….
Meski cuma momen indah namun aku merasainya juga…. Bangga dia. Senyum berbunga mekar.
Umi gemar menikmati saat matahari terbenam. Kata umi, langit tampak cantik, udara nyaman dan suasana damai. Dia tersenyum sendiri.
Tapi aku suka matahari naik, kala subuh kian berlabuh. Saat itu langit merah, aku rasa bersemangat. Matahari seakan dingin, kicauan beburung dan kilauan embun tampak cantik dipanah merah matahari. Ayah akan tertawa dengan komen-komen itu.
Lestary turut tersenyum dalam membongkar lipatan rindu.
“Ayah gemar waktu malam....” Dakwaan ayah hanya mahu mengusik umi,gemar mendengar umi merengek marah dipermainkan. Yang lebih menyenangkan ayah, apabila umi mencubit ayah. Ayah akan tertawa geli dan sejurus itu mencium umi. Senyum Lestary kian memanis. Manis sehingga air mata yang semakin mesra, semakin deras pula titisnya.
Dia menghela nafas panjang. Dihembus keras. Benci tawarikh itu! Lestary meningalkan permukaan langit, julai rimbunan juga. Dia tidak mahu terus dibelenggu nostalgia. Dia mahu melupakan segala yang menyakitkan. Mahu menjadi Lestary yang baru, yang tidak kelam latar hayatnya. Namun tersasar lagi dia sewaktu kelopak mata dirapatkan. Gelap.
Ayah kata, ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri’. Ayah lebih gemar kekal sebagai rakyat negaranya. Umi turut menggemari negara ayah, menganggap negara ini negaranya juga. Tapi aku? Apakah aku diterima sebagai rakyat negara ini sedang kehadiranku di sini tidak menyenangkan semua orang? Keluhan muntah lagi. Kulit muka yang panas sejuk diraup sedikit keras, benci kian bertapak dan kian menyakitkan.
Umi kata Malaysia negara aku. Kampung Air Mati ini kampungku. Dia memujuk hati sendiri. Terangguk-angguk dia, suara ibunya mersik memujuk. Tika itu dia hanya tersenyum.
Asal bersama umi, negara apa pun akan menjadi syurga aku. Tapi sekarang umi sudah tiada. Apakah Malaysia masih tetap milikku? Dia menyeka air mata, rasa benci membuat pipi dan kelopak matanya berasa pedih dikesat rakus. Suam air yang selama ini merenik di dalam hati, kini semakin lebat tumpahnya, memanas di mata, memanas juga di pipi. Lestary benci pada jiwanya yang lemah, tidak rela ianya mencemar pipi yang gebu pauh dilayang itu.
Umi.... raungnya di dalam kelam hati. Dia bingkas. Dari baring, dia kini duduk tercongok. Dari atas katil itu dia melempar pandangan ke luar tingkap semula. Langit semakin cantik, dihias bentuk awan beranika corak. Cuba dijelajah dari sebentuk ke sebentuk kelompok awan itu. Sengaja mahu menukar rentak di dalam perasaan.
Selama memerhati itu, bentuk kian lincah bertukar. Yang kecil bercantum menjadi besar, yang besar pula berserpihan kecil. Mudahnya menukar corak, pasti angin di atas bertiup kencang. Desisnya sendiri menjawab persoalan sendiri.
Ya, semudah ayah menukar kasihnya pada umi kepada benci yang menggila! Tersasar lagi dia. Jemari digenggam erat membentuk penumbuk kecil yang keras sehingga menyakitkan. Dua penumbuk kecilnya dihempas pada bibir jendela, hanya menyakitkan. Marah tetap berapi. Dia tertunduk sedikit lama, berusaha memujuk hati. Beristighfar, berserah diri pada-Nya. Takdir Allah, siapa aku berhak menentangnya. Dia terpujuk kembali. Tidak rela menjadi hamba dendam. Menggeleng dia berkali-kali.
Dia mengeluh, kepala digaru-garu keras. Rasa pedih kulit kepala tidak dihiraukan. Yang pasti, dia mahu lari dari nostalgia yang menyakitkan itu. Lari sejauhnya, namun bayangan semalam terus memburu. Takut sungguh dia.
Benci! Raungnya di dalam hati. Dari menggaru, diketuk pula dua kali sebelum menelungkup kepala di atas lutut yang ditinggikan. Betis dipeluk erat. Tadi dia sudah meninggalkan mulut jendela, berharap kebencian semalam tinggal di luar sana.
Puas menunduk menyembunyi wajah, dia kembali menujah ke langit yang sudah biru keputihan. Dari tempatnya duduk dia melihat sudah tiada lagi tompokan bentuk-bentuk awan yang tadi dikiranya. Dari dendam, dia dihamuk kesal pula. Rasa terkilan tidak sempat melihat awan menukar corak. Sekesalnya tidak sempat membesar dengan belaian wanita murni semulia ibunya.
Sayup-sayup kokokan ayam jantan bersahutan, tidak begitu ghairah seperti sewaktu dinihari, sekadar menyuci suara, mungkin. Ayam betina di reban Wan Bada pula berketak lalu disahut ramai ayam-ayam yang lain. Suasana hening bertukar riuh dalam sekelip mata. Lestary tersenyum, girang di dalam hatinya. Sudah lama dia tidak mendengar sahut-sahutan begitu. Meski bising memekak telinga namun dia tetap tersenyum manis. Suasana begitu, mengheretnya menjejak permatang kenangan dengan senyum masih memanis.
Si Jalak dengan Si Batik? Tiba-tiba dia terimbau lagi ke saat hampir dua puluh tahun dahulu. Senyumnya bertukar hiba. Setitis air mata meluru jatuh apabila kelopak mata dikerdipkan. Perlahan-lahan dia menyeka air jernih itu. Bayangan ayam jantan dan ayam betinanya yang diberi nama Jalak dengan Batik bergentayangan terus.
“Wah…, nanti banyaklah ayam Lest?”
Uminya mengangguk lagi, tersenyum terus.
“Lest nak dia banyak, banyak dan terus banyak.”
“Nanti rumah nenek jadi pusat pemeliharaan ayam?” Gurau uminya yang dipanggil orang kampung dengan gelaran Ha sahaja.
Tidak lama kegembiraan itu, datang pendurjana memisahkan mereka. Wan Bada, mengarahkan anak buahnya meyembelih Jalak dan Batek, konon mengotorkan halaman. Lestary terisak di pangkuan uminya. Jangan beritahu ayah, pesan Hanan Alaa. Lestary tidak faham apa maksud itu. Kata uminya, nanti ayah bergaduh dengan neneknya.
“Biarkan! Biar nenek dimarah ayah.”
“Jangan, nanti ayah menjadi anak derhaka. Kita semua mendapat bala Allah.”
Terkedu dia. Dia tidak mahu ayahnya jadi anak derhaka. Tapi, dia mahu kejahatan neneknya diketahui ayahnya!
“Kesianlah umi, sayang….”
Mengangguk juga dia akhirnya.
Malamnya dia mendengar Wan Bada memberi tahu Daud, dua ekor ayam Lestary mati digilis motosikal. Lestary marah benar tapi pesanan umi memujuk hati. Daud berjanji akan membeli ayam yang lain dan diternak di rumah Mak Cik Som, rumah wanita itu jauh dari laluan kenderaan. Hanya pejalan kaki lalu di situ. Maka akan lebih selamat anak-anak ayamnya.
“Lest…” Ketukan di pintu diikuti dengan namanya diseru, merentap ingatan. Dia mengeluh kesal.
Wednesday, July 1, 2009
BAB 1
entry-content'>
Dicatat oleh Rasha_rz di 3:20 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment