Sunday, January 17, 2010

Nasib malang buku bahasa Melayu (UTUSAN MALAYSIA)

entry-content'>

oleh RAMLI ABDUL HALIM

INDUSTRI penerbitan dalam Bahasa Melayu mampu bersaing dengan penerbitan dalam bahasa Inggeris bagi merebut peluang dagang jika 300 juta penutur bahasa Melayu mampu dieksploitasi.

Berdasarkan fakta terkini, bahasa Melayu menduduki tangga keempat selepas bahasa Mandarin, Inggeris dan Urdu/Hindi dari segi jumlah penutur. Maknanya jumlah penutur Melayu mengatasi jumlah penutur banyak bahasa-bahasa lain.

Dengan jumlah penutur Bahasa Melayu yang begitu besar jumlahnya, sepatutnya pemain dalam industri penerbitan bercetak atau elektronik mempunyai peluang yang sangat menjanjikan untuk jadi jutawan dengan mudah.

Seandainya satu peratus daripada 300 juta penutur bahasa Melayu menjadi pelanggan sesebuah akhbar harian, akhbar mingguan, majalah bulanan atau buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, maknanya jumlah jualan untuk setiap bahan akan berjumlah tiga juta sehari, seminggu atau sebulan.

Sekiranya keuntungan yang diperoleh dari tiga juta jualan bagi setiap bahan penerbitan, keuntungan bersihnya diperoleh sebanyak 20 sen sahaja, maka jumlah perolehan untuk setiap bahan adalah sebanyak RM600,000, satu jumlah perolehan yang sangat lumayan bagi pemain industri penerbitan, terutama dari kalangan penulis di negara ini.

Hakikatnya di Malaysia, penulis yang berjaya menghasilkan 10 buah buku pun belum tentu hasilnya boleh mencecah RM600,000, malah untuk dapatkan RM60,000 atau RM16,000 pun belum tentu. Ini kerana ada penulis yang bukunya telah diterbitkan bertahun lamanya belum terima sesen pun bayaran.

Kalau bukan penulisnya Shariff Putera dari Terengganu, yang beritahu kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz barangkali jika tujuh kali mati dan tujuh kali hidup pun seseorang tidak akan ada yang percaya dengan apa yang diluahkan oleh penulis Terengganu itu.

Shariff Putera - seorang pendidik dan penulis mapan mendakwa bukunya yang diterbitkan sebanyak 5,000 naskah oleh DBP hanya terjual senaskah sahaja setelah bukunya itu beredar di pasaran.

Malang

Untuk negara yang rakyatnya berjumlah sekitar 28 juta, dengan akhbar-akhbar harian jumlah jualan hariannya tidak sampai pun sejuta naskah adalah sesuatu yang sangat malang, walhal kalau diambil kira senaskah akhbar dibaca oleh lima orang, seandainya sebanyak sejuta naskah suratkhabar harian terjual, maknanya jumlah pembaca baru pada angka lima juta daripada 28 juta rakyat.

Saya juga menemukan fakta rambang bahawa Bahasa Melayu adalah sejenis bahasa Melayu-Polynesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia-Indonesia dan kawasan persekitarannya lebih 1,000 tahun lalu. Ia telah mengalami perkembangan tamadun sesuai dengan pembinaan tamadun oleh penuturnya.
Bagaimanapun kecenderungan terhadap pembacaan bahan bercetak yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu masih rendah, menjadikan industri penerbitan bahan-bahan bercetak dalam Bahasa Melayu dan pelaburan dalam industri berkenaan paling berisiko, Penutur Bahasa Melayu kelas berilmu di Malaysia lebih memilih bahan bacaan dalam bahasa Inggeris.

Tebal

Semakin ilmiah buku yang diterbitkan dengan jumlah halaman yang lebih tebal, maka semakin sukarlah sesebuah buku yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dipasarkan. Kalau pun ada peminat sedikit sebanyak, hanyalah bagi buku yang bersifat bacaan ringan yang diselitkan dengan unsur-unsur lucah dan tahyul.

Kerana itu buku-buku atau majalah ringan serta tahyul yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan tertentu lebih laris jualannya berbanding dengan buku dan majalah terbitan DBP.

Tidak hairanlah kalau industri penerbitan bahan bercetak mahu pun elektronik jauh lebih ke depan di Indonesia berbanding dengan di Malaysia. Bagaimanapun jika mahu dibandingkan dengan bahan-bahan bercetak yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, jumlah bahan terbitan bercetak dalam Bahasa Melayu Indonesia jauh di belakang.
Bahasa Melayu pada waktu ini adalah bahasa rasmi bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei serta satu daripada bahasa rasmi Singapura.

Di Indonesia bahasa Melayu kini dipanggil Bahasa Indonesia dan di Malaysia, ia dipanggil Bahasa Malaysia. Ia sedang diancam oleh keyakinan di kalangan pemimpin Melayu terhadap keupayaannya untuk menjadi bahasa ilmu.

Selain daripada keempat-empat negara yang disebutkan, bahasa Melayu juga dituturkan oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thai, Selatan Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka, Burma dan Afrika Selatan. Di Sri Lanka sahaja 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu manakala di China terdapat siaran radio dalam Bahasa Melayu, membuktikan bilangan yang agak besar penduduknya yang faham berbahasa Melayu.
Bahasa Melayu juga diajar di University of Ohio di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda, Beijing Foreign Studies di China, Victoria University of Well New Zealand dan di Hankuk University, Korea. Penduduk rantau Balkan juga ada yang boleh berbahasa Melayu.

Anak Melayu juga sudah berjaya ke angkasa lepas di samping melalui Petronas, anak-anak Melayu berjaya memberikan saingan hebat dalam industri petroleum dunia. Bagaimanapun dalam bidang penyebaran ilmu dan maklumat, khususnya dalam dalam bidang penerbitan bercetak, Melayu melalu penggunaan bahasa Melayu masih gagal jadi hebat.
Ini adalah kerana tidak ada usaha dan langkah proaktif dilakukan bagi memastikan 300 juta atau setidak-tidak sebilangan besar daripada penutur Bahasa Melayu menjadi pelanggan dan pembaca akhbar harian, akhbar mingguan, majalah dan buku-buku yang ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Melayu.

7 comments:

mohamad kholid said...

kalau tak silap saya buku yg tak laku buku puisi... soalnya, cara persembahan buku puisi itu jgn aksara semata-mata, lebih molek jika digabungkan dengan lukisan atau seni catan mahu pun gambar yang menarik pada setiap helaian. jika jadi buku puisi yg mewah, pasti boleh dijual.

Nek Cun said...

Salam Ila... apa khabar? Sedih gak bila baca artikel tu, tapi memang itulah realitinya!... tapi siapa yang patut disalahkan?... penulis, penerbit, pembaca atau siapa?... Bagi nekcun, kesedaran untuk membaca buku bahasa sendiri bagi anak2 Melayu amat kurang!... ini kerana mereka lebih didedahkan dan mengagungkan bahasa asing sehingga ada anak melayu yang malu mahu membaca buku berbahasa melayu... takut dianggap tidak ada class!...

kak ila said...

Kholid.
Tak tau lak akak, buku jenis apa yg dimaksudkan. Tapi buku apa pun, rasanya asalkan ianya jenama Melayu, penulisnya rakyat Melayu... itulah nasibnya.jarang yg blh kaya dgn hasil penulisan (buku Melayu).Buku kak ila yg dpt saguhati sayembara 2006, sampai la ni, jualan belum lagi melepasi duit pendahuluan yg kak ila dpt masa terbitnya.

Nek cun.
rindunya kat akak. bila blh kita berjumpa ya?berbincang lagi pasal karya.
Memang ramai yg malu membaca novel Melayu,malah megah menyebut, buku Melayu tak ada class. dan bangga benar dorang baca buku Inggeris di dlm LRT.

sf said...

Kak Ila ...tapi buku masuk projek, masyukkkk kan? hehehe ...

Entah bila agaknya perkara ini akan berubah, tapi ternyata penulisan di Malaysia amat sukar untuk dijadikan mata pencarian yang tetap. Ya, di barat agensi literari yang memainkan peranan. Hmmm kalau nak salahkan penerbit 100% pun, susah juga sebab ramai penulis yang tidak prihatin ttg perkara begitu. Jadi sama-sama kita muhasabah, melihat dan menilai semula sejauh manakah pentingnya peranan agen literari dalam membantu nasib poenulis. Jadi, bagaimana?

kak ila said...

sf.. masuk projek tu,rezeki terpijak. alhamdulillah & amin...

eh, kan buku dari syarikat awak lagi lah.. dapat masuk komsas! lebih banyak masyukkkkkkkkk. hehehe

sf said...

Saya dah tak kerja di situ. Kerja sendiri macam dulu je. :)

kak ila said...

o...
hebat adik akak. teruskan mendidik anak bangsa berkarya.


Free shoutbox @ ShoutMix