Friday, October 14, 2011

Bayi baru lahir disorok dalam tangki pam tandas

entry-content'>


Seorang wanita menunjukkan tangki air pam tandas tempat bayi disorok selepas dilahirkan seorang gadis di sebuah rumah sewa di Kemaman, semalam.

Bayi yang masih hidup serta bertali pusat itu dijumpai oleh rakan sebilik suspek berusia 23 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Abdullah Sani Salat, bayi seberat kira-kira dua kilogram itu dijumpai dalam keadaan kebiruan dan lemah, dipercayai akibat lemas di dalam air tangki pam tandas berkenaan.

Katanya, bayi tersebut yang mengalami sedikit kecederaan pada badan itu difahamkan telah disembunyikan oleh suspek bagi mengelakkan kejadian itu diketahui rakan serumahnya yang lain.

"Salah seorang rakan serumahnya menjumpai kesan darah yang terdapat pada lantai tandas menuju ke bilik suspek. Syak sesuatu yang berlaku, dia mula melihat-lihat di sekitar rumah berkenaan sebelum terdengar tangisan bayi di dalam sebuah tandas dan menemui bayi berkenaan di dalam tangki pam tandas bilik air rumah sewa mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, rakan sebilik mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian terus membawa bayi berkenaan yang dalam keadaan lemah dan kesejukan ke Hospital Kemaman untuk diberikan rawatan kecemasan.

Tambahnya, polis menahan suspek yang kini mendapatkan rawatan di wad Hospital Kemaman dipercayai ibu kepada bayi terbabit.

"Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan suspek yang juga seorang yatim piatu kini ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, rakan sebilik suspek yang hanya ingin dikenali sebagai Ina berkata, pada mulanya suspek mengadu sakit perut dan ingin ke tandas rumah sewa berkenaan untuk membuang air besar.

"Selepas duduk terlalu lama dalam tandas, suspek akhirnya keluar dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan dan berbaring di atas katilnya.

"Saya terkejut apabila melihat ada kesan darah pada lantai rumah lalu mengesyaki sesuatu sebelum mendesak rakannya itu untuk menceritakan apa yang berlaku dan akhirnya saya berjaya menemui bayi yang disorokkan itu setelah mendengar tangisannya,"

No comments:


Free shoutbox @ ShoutMix