Monday, October 10, 2011

NASIB MALANG PENULIS (Suara Pakatan Daily)

entry-content'>


Nasib malang ini tidak dialami oleh semua penulis Malaysia. Mungkin dialami oleh sebilangan kecil atau sebahagian penulis yang malang sahaja. Namun apa yang jelas nasib malang ini turut dialami oleh para penulis terkenal.

Sejauh ini Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) tidak pernah mempedulikan nasib malang para penulis ini. Apa yang jelas PENA hanya tertarik untuk mengadakan siri majlis pembacaan puisi saban waktu. Jarang-jarang sekali mengadakan majlis bicara karya. Kalau GAPENA, lebih tertarik untuk mencari susur galur rumpun Melayu hingga ke Surinam malah ke Afrika Selatan. Walaupun persatuan penulis tersebut sudah wujud sekitar 40 tahun namun tidak ada apa-apa pertolongan yang dihulurkan kepada penulis yang malang ini.

Penipuan penerbitan

Masalah penipuan penerbitan terhadap para penulis, masalah hak cipta, masalah penjualan karya, masalah penampungan karya, masalah penerbitan karya, masalah royalti, masalah anak tiri dan anak emas yang diamalkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka sudah menjadi kudis, puru dan berlarut-larut. Semuanya tidak pernah dipeduli oleh pihak GAPENA.

Justeru GAPENA lebih wajar diganti dengan akronim Gah Pada Nama, bukan Gabungan Penulis Nasional.

Siapakah para penulis malang ini? Mereka ialah para penulis yang karyanya tidak laku untuk diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit-penerbit besar yang lain seperti Alaf 21 atau PTS. Justeru mereka terpaksa membelanjakan wang sendiri untuk menerbitkan karya

Masalah besar kepada para penulis ini ialah untuk memasarkan karya yang diterbitkan itu. Kebanyakan kedai buku yang tersohor seperti MPH dan Popular tidak mahu mengambil karya-karya yang datang langsung dari penulis, mereka mahu karya yang datang melalui penerbit. Kalau ada pun kedai-kedai yang mahu menjualnya, mereka mahu diskaun tidak kurang dari 50 peratus, malah hingga 60 peratus. Juteru kalau harga sebuah buku RM10, penulisnya hanya bakal mendapat RM4 atau RM5 sahaja.

Ketika menghadiri seminar Alam Dalam Kesusasteraan yang dianjurkan oleh Bahagian Kesusasteraan , Universiti Sains Malaysia pada 17 Julai lalu saya terkejut melihat penulis Fatimah Busu duduk di meja yang menjual buku-bukunya di luar Dewan Kuliah A tempat berlangsung seminar tersebut.

Menurut Fatimah buku-buku itu dicetak dengan perbelanjaannya sendiri. Di antaranya koleksi cerpen Aduhai, buku kritikan tentang novel Salam Maria yang berjudul Nyanyi Sungi Maria vs Sarjana Nasi Dingin. Dan buku tesis PhD yang baru diterbitkan, Persamaan dan Perbezaan Dalam Perkembangan Novel Melayu dan Indonesia. Di samping terdapat juga novel The Missing Piece I&II yang katanya diberikan secara percuma oleh penerbit Citra Kurnia.

Bila ditanya kenapa tesis PhD itu tidak diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka beliau memberitahu terlalu banyak syarat yang dikenakan termasuk skop kajian perlu ditambah hingga ke tahun 2000. Penambahan ini kata beliau boleh dijadikan sebuah tesis yang lain. Selain dari itu ketebalan tesis itu nanti akan menjadi lebih 1,000 muka surat. Di samping akan mengambil masa dua ke tiga tahun untuk menyiapkannya.

Beberapa orang sarjana dari Singapura dan Brunei agak hairan dengan keadaan seperti ini. Mereka berpendapat seorang penulis yang sudah ada nama seperti Fatimah tidak sepatutnya mengalami nasib seperti itu. Kata mereka biasanya penulis hanya hadir di gerai-gerai penjualan buku-buku yang dikendalikan oleh pihak penerbit atau pengedarnya sahaja. Lazimnya penulis itu diundang khas oleh pihak penerbit atau penganjur untuk menandatangani buku-bukunya yang dibeli oleh para pembeli.

Para sarjana ini tidak tahu bahawa bukan Fatimah Busu sahaja yang terpaksa melalui pengalaman pahit seperti itu. Lama dahulu penulis Profesor Dr Siti Zainun Ismail juga pernah menjual bukunya di ruang legar Dewan Bahasa dan Pustaka. Terkini, penulis seperti Dr Talib Samat, Ahmad J Husein dan Leo AWS turut mengalami nasib yang sama seperti Fatimah Busu.


Cukup menghairankan kenapakah Kementerian Kesenian dan Kebudayaan yang diterajui oleh Datuk Seri Rais Yatim tidak lagi menyalurkan peruntukan kepada pihak Perpustakaan Negara Malaysia sebagai dana pembelian buku-buku secara langsung dari para penulis seperti pada tahun-tahun sebelum ini. Inilah saja satu-satunya cara untuk membantu para penulis yang malang ini. Lebih menghairankan lagi khabarnya kementerian ini turut memberikan dana penerbitan bernilai jutaan ringgit kepada para penerbit untuk menerbitkan karya para penulis tanah air.


Pilih kasih

Namun apa yang meralatkan tentang pembelian buku-buku ini ialah semacam ada pilih kasih yang dilakukan oleh pihak Perpustakaan Negara. Ada penulis yang karyanya dibeli sampai lima tajuk. Kalau setiap tajuk dibeli 1,000 naskhah dengan harga RM20 senaskhah, bermakna penulis tersebut mendapat pulangan RM100,000!

Di samping itu, khabarnya banyak karya yang dibeli oleh Perpustakaan Negara itu bertumpu kepada novel-novel popular/picisan, di samping karya-karya dari para penulis yang sudah ada gelaran seperti para penerima Hadiah Mastera dan SEA Write Awards. Sepatutnya pembelian itu diberi keutamaan kepada karya-karya yang bercorak akademik dan karya kreatif yang serius yang layak untuk pasaran antarabangsa.

Perpustakaan Negara sepatutnya tidak perlu lagi membeli karya-karya picisan yang sudah pun terjual laris di pasaran. Mengikut satu sumber, banyak karya yang dibeli oleh Perpustakaan Negara itu sudah jadi karya terlaris sehingga mencecah jualan 200,000 unit dalam masa setahun dua sahaja. Dengan itu para penulisnya sudah mendapat royalti hingga beratus ribu malah mencecah jutaan ringgit.

Justeru adalah lebih baik kalau pembelian itu hanya dihadkan kepada karya- karya yang serius dan karya bercorak akademik, yakni karya yang mengandungi pemikiran besar. Keutamaan juga patut diberikan kepada karya-karya yang diterbitkan sendiri oleh para penulisnya. Ini adalah kerana karya-karya seperti ini sangat sukar untuk dijual di kedai-kedai buku dan menembusi pasaran tempatan.

Adalah diharapkan pihak kementerian berkenaan dengan kerjasama GAPENA dapat mengadakan rundingan bagi mewujudkan satu badan khusus sebagai tempat penyimpanan stok karya-karya para penulis yang malang ini untuk membantu karya-karya itu diedarkan ke pasaran seluruh negara.

Dalam hal ini pihak GAPENA juga akan mendapat komisyen yang boleh dijadikan dana persatuan. Dengan cara ini pihak GAPENA dapat meyakinkan para penulis yang persatuan itu masih

No comments:


Free shoutbox @ ShoutMix