Thursday, October 6, 2011

'Jangan 'gatal' tangan' (Berita Harian 6 Okt 2011)

entry-content'>


BULAN lalu, lima pengarang membuat laporan polis berhubung dakwaan mereka tidak mendapat bayaran yang sepatutnya diterima apabila karya masing-masing dijadikan teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Karya dalam bentuk novel dan cerpen Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun, Mohd Izan Abd Hazes dan Erda Roslan Khairi, antara yang dipilih menjadi sebahagian daripada teks KOMSAS untuk pelajar Tingkatan Satu, Dua, Tiga dan

Sementara itu, novelis terkenal, Abu Hasan Morad pula tertekan emosi apabila novelnya, Cinta Madinah yang dijadualkan sebagai teks KOMSAS 2012 untuk zon timur ditarik balik oleh Kementerian Pelajaran, meskipun kontrak antara penerbit dengan penulis sudah ditandatangani.

Sepintas lalu, senario yang berlaku menunjukkan nasib pengarang Malaysia tidak terbela, namun jika kita melihat dari sudut undang-undang hak cipta, sebenarnya sudah ada mekanisme untuk melindungi setiap pengkarya di Malaysia.

Apa yang lebih utama, setiap pengarang perlu tahu hak mereka di segi undang-undang dan jangan hanya tahu berkarya saja, sehingga penerbit mudah mengambil kesempatan ke atas mereka.

Sungguhpun demikian, Profesor Undang-Undang, Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Lim Heng Gee, melihat isu hak cipta masih baru di Malaysia, malahan pengalamannya di fakulti undang-undang, tidak ramai pensyarah atau pelajar tahu mengenai Akta Hak Cipta, melainkan mereka mengajar dan mengambil subjek berkenaan.
“Apabila sesebuah kontrak penerbitan itu ingin ditandatangani, pengarang perlu jelas mengenai hak mereka seperti dicatatkan dalam kontrak. Pengarang dan penerbit boleh berbincang dan bertolak ansur mengenai butiran dalam kontrak.

Namun pengarang tidak terkenal, ada kalanya terpaksa mematuhi syarat ditetapkan kerana berada dalam situasi ‘awak hendak atau tidak?’

“Berlainan dengan pengarang terkenal yang lebih berada pada kedudukan meminta syarikat penerbitan membuat kontrak mengikut kemahuannya kerana penerbit yang mahu menerbitkan karyanya. Apabila persetujuan dicapai, pengarang dan penerbit perlu maklum hak eksklusif masing-masing, apa yang dipegang penerbit mahupun pengarang sendiri,” katanya.

Hak eksklusif dalam konteks karya sastera mengikut Akta Hak Cipta 1987 meliputi hak pengeluaran semula dalam bentuk apa juga; penyampaian kepada awam; pertunjukan, tayangan atau permainan awam; pengedaran salinan kepada orang awam melalui penjualan atau pemindahan pemunyaan secara lain dan penyewaan secara komersial kepada orang awam, secara keseluruhan atau sebahagian besar karya sama ada dalam bentuk asal atau terbitan.

Prof Dr Lim menjelaskan, apabila menandatangani kontrak penerbitan biasanya pengarang menyerahkan semua hak cipta kepada penerbit dan sangat sedikit penulis yang hanya menyerahkan ‘hak pengeluaran semula dalam apa-apa bentuk bahan’.

Hal itu berlaku kerana tidak ramai penulis yang jelas tentang hak cipta mahupun tahu di bawah definisi hak eksklusif untuk hak cipta ia merangkumi hak siaran, membuat salinan atau sewa.

“Ada kala hak cipta kita terhadap karya itu gugur dengan sendiri tanpa kita menandatangani kontrak pun. Misalnya dalam pertandingan karya kreatif dituliskan dengan jelas syarat-syaratnya merangkumi hak cipta ke atas setiap penyertaan menjadi hak milik penerbit. Jadi, bila kita masuk, secara automatik kita sudah menyerahkan hak cipta,” katanya.

Beliau tidak bersetuju menyalahkan penerbit sepenuhnya dalam hal hak cipta kerana kedua-dua pihak ada kepentingan dan melihat daripada sisi berbeza.

“Kita tidak boleh salahkan penerbit, namun tidak boleh juga menyalahkan pengarang saja. Ia bukan soal penerbit ambil kesempatan atau memanipulasi hak penulis. Penulis perlu jelas mengenai hak mereka ke atas karya daripada segi undang-undang.

“Ini kerana, penerbit juga mengambil risiko dalam menerbitkan karya pengarang terutama jika membabitkan kelompok baru dan tidak terkenal pula. Penerbit mengeluarkan modal yang besar dalam menerbitkan karya, namun ia juga bukan bermaksud penerbit boleh menafikan hak pengarang,” tegasnya.

Bagaimanapun, jika penerbitan dilakukan di luar izin pengarang, mereka yang berkaitan boleh mengambil tindakan apatah lagi jika hak cipta itu dipegang pengarang, namun tidak dinafikan ada juga kes pengarang menjual karya kepada penerbit pada harga tertentu dan menandatangani perjanjian untuk penyerahan hak cipta.

“Menjual karyanya kepada penerbit dan menandatangani pula perjanjian dengan mereka bermaksud pengarang sudah hilang keseluruhan hak pada karya itu. Misalnya, kalau karya itu diangkat sebagai teks KOMSAS mereka tidak lagi ada hak menerima royalti. Begitu juga jika karya itu difilemkan atau dipentaskan,” ujarnya.

Malah, andai kata karya itu tiba-tiba ‘meletup’, mengikut Akta Hak Cipta 1987, si pengarang hanya memiliki hak moral ke atas karya yang bermaksud pengarang boleh menyaman penerbit jika namanya diubah atau isi kandungan teks itu diubah tanpa kebenaran daripadanya.

“Kita faham setiap orang punya keperluan. Pengarang mungkin berhadapan dengan kesukaran kewangan atau isu lain yang menyebabkan dia perlu menjual karyanya. Jika karya itu tiba-tiba ‘meletup’ dan pengarang berasa dia berhak ke atas keuntungan itu, dia perlu buktikan ketika perjanjian jual beli dibuat, pengarang dalam keadaan tidak waras atau tidak tahu dan perlu disertai bukti lain. Namun dalam konteks biasa, memang terlalu mustahil pengarang boleh menyaman penerbit jika dia sudah menyerahkan hak cipta,” katanya.

Prof Lim menasihatkan pengarang yang mahu menjual karya dan menyerahkan semua hak kepada penerbit, perlu menulis di dalam kontrak, jika pada masa hadapan, karya itu membawa keuntungan berganda, pemberian sagu hati mengikut keuntungan perlu dibuat kepada pengarang.

Bagi kes membabitkan penolakan sebuah novel yang dijanjikan sebagai teks KOMSAS dan kontrak sudah ditandatangani, Prof Dr Lim menasihatkan pengarang terbabit agar memastikan hak cipta karya dipegang pengarang atau penerbit.

“Jika ia milik penerbit, maka kontraknya membabitkan penerbit dan kementerian. Justeru pengarang tiada lagi hak ke atasnya. Jika hak ciptanya masih dipegang oleh pengarang, kontrak itu mesti membabitkan kementerian dan pengarang,” katanya.

No comments:


Free shoutbox @ ShoutMix