6
AKU SANGKA sudah pupus selepas
perginya Fifei…. Mengeluh dia perlahan,
berasa mati hidup semula dia. Dalam hati
sudah ada mawar berkembang dan mewangi meski kelopak lama yang layu sudah kering,
sering menyakitkan. Sepi malam sudah ada
sedikit irama mengasyikan.
Apa agaknya pekerjaan dia? Teragak pula dia ingin tahu namun segera
dipadam. Sudah kembali dia ke ruang
asal, tidak ada lagi kenangan yang terlepas.
Untuk
apa aku tahu semua itu, yang penting apa pandangannya pada aku, apa
perasaannya. Telefon bimbit dicapai
lagi. Termasuk itu sudah tiga kali
dipegang dan dilepas, dia terus sangsi sendiri.
Akhirnya dia nekat, nombor telefon Mutiara ditekan, dirapatkan ke telinga dan menunggu,
berteman debaran.
“Ira, it’s me. Neor.”
“O hai, assalamualaikum.”
Neor menyambut salam juga, debar di
dadanya dikawal terus.
“Ada apa Encik Neor?”
“No,
tidak ada yang penting. Cuma nak pastikan you selamat sampai.”
Mutiara tertawa perlahan. Lengguk tawanya menghibur sungguh, Neor
senyum sendiri. Terasa si manis sedang
tertawa di hadapannya.
“I
okay, selamat sampai tanpa gangguan.”
“Alhamdulillah, senang hati saya.”
Kedengaran Mutiara tertawa lagi, mersik namun terlalu perlahan.
Jelas sengaja direka. Neor gelisah
sendiri. Nafas dihela panjang, dilepas
juga panjang. Kosong sudah dadanya.
“Ira, I ada sesuatu nak beritahu
you.”
“Apa dia?”
“Saya suka awak.”
Mutiara diam, sedikit lama masa terbiar memaksa Neor
menyebut ‘hello’ perlahan bagi memasti gadis itu masih di situ. Mutiara
hanya menyebut ‘ya’, perlahan.
“I
love you.” Diulangnya ayat sama
dengan bahasa berbeza.
Mutiara diam jua.
Sejurus telefon terus senyap,
bisu sudah yang di kejauhan. Neor
menyeru lagi, ternyata yang dipanggil sudah menghilang, menamatkan
panggilan. Meski tidak menerima sebarang
jawapan, suka mahupun benci namun Neor
lega juga, berharap juga gadis itu mempertimbang perasaannya. Sebelum meletak telefon, dia menghubungi
Ezeti pula, memberitahu gadis itu apa
yang terjadi sedetik lalu. Ezeti sekadar tertawa lama.
“Kenapa?”
“Apa reaksi dia?” pertanyaan Neor dijawab dengan persoalan
juga.
“Terus tutup phone.”
Tertawa lagi Ezeti.
“Kenapa seronok sangat saya gagal?”
Tawa Ezeti semakin kuat dan berlangsung lama.
“Bukan gembira awak gagal memikat
dia, tapi cara awak tu buat saya ketawa.”
“Kenapa? Lucu?”
“Bukan lucu, tapi awak ingat ini drama ke? Mesti cepat-cepat
menyudahkan konflik sebab drama awak cuma berlangsung 45 minit?”
Terdiam lagi Neor. Kata-kata Ezeti itu benar.
Dia terbawa-bawa emosi sewaktu beraksi di lokasi pengambaran drama. Mengeluh dia perlahan. Dialog itu juga disalin dari skrip
lakonannya.
“Habis, macam mana ni? Saya
sungguh-sungguh suka pada dia.”
“Awak dah meluahkan perasaan,
kan? Selebihnya terserah dia, usah
dipaksa.”
“Ya.”
Perlahan, kecewa juga.
“Setahu saya dia memang tak ada special boy friend, dia juga jenis tidak
terlalu memilih, so, pandai-pandailah.”
Pembayang yang diberi Ezeti sudah cukup menjadi
motivasi. Satu klu yang cukup kuat bagi menerangi jalannya. Dia mencari pula kekotak pesanan ringkas di
telefon bimbitnya, mahu menghantar pesanan ucapan maaf kepada Mutiara. Itu
perlu demi menenangkan sedikit perasaan Mutiara yang mungkin sudah
membenih perasangka buruk padanya. Lancar jemarinya menekan kekunci huruf
sementara otak merencana ayat-ayat bersih, dalam diam berdoa juga agar Mutiara
tergoda pada lengguk bahasanya. Itu sahaja caranya kini. Selepas menaip sehingga penuh seluruh skrin,
disemak semula. Dia mahu memastikan
tidak berlaku sebarang kesilapan dan ayat-ayat yang dihantar akan mengguris
penerima. Dua kali dibaca dan
diperbetulkan, Neor berpuas hati, nombor Mutiara pula dikesan jarinya lalu
kekunci hantar ditekan. Yakin dia,
berharap juga.
Lama ditunggu, langsung tidak menerima
apa-apa jawapan. Sudah lebih tiga
panggilan bolos dan berbelas pesanan ringkas masuk, dijawab juga tetapi hanya
rakan-rakan sesama tugasannya. Tidak
satupun yang bertanda nama Mutiara. Neor
bungkam sendiri, dinginnya sikap Mutiara
membuat dia dibanjiri dingin peluh.
Penghawa dingin di ruang rehat kondomeniumnya ditongak, mahu memasti
peralatan canggih itu masih berfungsi.
Jelas, lampu hijau terus menghijau, ada rembesan dingin terus setia
melayangkan sehelai reben yang dijuntai di hadapan sesendengnya. Senyap tetapi kekal dingin. Itu rumusannya sendiri, peluh di dahi dan belakang tengkok diseka
perlahan.
Sabarlah hati, selepas teruk
disakiti, tak mungkin aku akan sakit lagi hanya kerana dinginnya dia. Beri dia masa…. Terus juga membujuk sendiri. Berkali-kali nafas ditarik dan dihembus,
terasa sebu seruang perutnya.
Ditepuk-tepuk perlahan untuk mengesan bunyi sama ada berisi angin atau
lapar. Tidak ada apa yang boleh
dirumuskan namun seakan ada bara api yang memanas dan menghangus. Sesekali pula
seperti terdapat kura-kura merayap, digosok dan ditekan-tekan kulit anjal di
situ, terasa senak benar.
“Kenapa sakit perut pula ni?” Keluhnya perlahan di luar sedar, terus juga
menekan-nekan sendiri, ditepuk-tepuk juga perlahan untuk mengesan bunyinya. Nafas kian menyenak, sudah seakan sesak
nafas.
Tak kembung, keluhnya perlahan. Bangun pula dia, mencapai beg yang sering
dibawa ke lokasi pengambaran, dicari-cari minyak angin kecil jenama ‘kapak’
yang sering diguna jika berlaku senak atau pening. Diketuk-ketuk pada sebidang perut sebelum
disapu menyeluruh. Selepas sendawa
angin, dia berasa sedikit lega. Seusai kerjanya dia meniarap pula, meletak
pipi pada bantal. Ditengah ruang tamu
itu dia melamun dan memanja diri sendiri.
Berasa sunyi benar dia meski televisyen terus menyiarkan sebuah demi
sebuah rancangan yang diselang-seli dengan iklan biasa. Terus juga diabainya, tidak langsung diberi
perhatian.
Telefon bimbit bernada, kuat. Diangkat untuk dimatikan ‘alarm’ yang sengaja disediakan beberapa
jam tadi. Jam dinding ditongak
juga. Dia terhenyak sendiri melihat
waktu yang berlalu pantas. Singkat benar
beberapa jam sudah ditinggalkan tanpa sepicing melelapkan mata. Sehingga sudah
sampai masanya untuk dia ke lokasi untuk satu babak penting yang memerlukan
suasana dingin dinihari. Selain arahan
dalam skrip yang mahukan waktu sebelum Subuh, suasana damai dan tenang tanpa
banyak gangguan juga perlu untuk emosi para pelakon. Mengeluh dia sendiri. Seawal jam 9 malam sudah dipesankan pada mata untuk tidur dan bangun jam satu pagi untuk
bersiap ke lokasi. Dia wajib sampai sebelum jam dua pagi kerana pengambaran
akan bermula pukul tiga pagi. Dalam
jadual yang diberi, mereka hanya akan berada di situ sehingga jam tujuh
pagi. Empat jam diperlukan untuk
beberapa babak, berehat lagi semua pekerja dan ke sana semula sebelah
petangnya. Rutin pekerjaan yang cukup
melelahkan, belum dicampur merakam lagu di studio rakaman. Meski letih benar namun sekali kaki
melangkah, dia akur pada jadual yang ditetapkan. Sehingga ke hari itu, dia cukup berdisiplin
dan tekun pada kerjanya. Lebih sibuk
lebih bagus, terasa benar menghargai diri dan masa dimanfaatkan sepenuhnya. Itu
katanya selalu pada diri sendiri.
Kesibukan dan keletihan juga ubat terbaik untuk mengikis rasa pahit semalam, kenangan
yang pernah merentap semangatnya untuk
terus hidup.
No comments:
Post a Comment