BAB 2
MELAMUN
dia sendiri di serambi. Lengang, sunyi
dan sepi mengepong. Terlalu sayu,
terlalu pilu acap kali dia melengu sendiri begitu, rasa itu yang menghurung. Sudah lama benar berlalu namun rasa baru
semalam hatinya dilukai dan dilumati. Di
tempat itu takdir sudah ditentu, pasrah dia dalam keterpaksaan. Digosok dada
yang semakin sasa, melebar dengan isi yang tepu. Pastinya sekeping kecil hati di dalam rangka
dada itu sudah sembuh namun parut luka masih membekas. Melayang lagi fikirannya, teringat peristiwa
diterjah wartawan
hiburan dua hari lepas.
“Ramai yang mengatakan, sejak drama
CAHAYA KRISTAL, nama Saudara Neor melonjak.
Apa pendapat saudara?”
“Sejujurnya saya berterima kasih kepada
peminat yang menerima lakonan saya dan drama CAHAYA KRISTAL. Terima kasih juga pada penerbit dan pengarah
yang memberi peluang dan kepercayaan kepada saya.”
“Jadi, saudara bersetuju, sejak
penglibatan saudara, baru ini bakat saudara terserlah?”
Neor senyum, menunduk juga. Senyum dan gaya mencari idea menjawab
pertanyaan wartawan begitulah yang telah menarik perhatian peminatnya. Kemanisan wajah, santun dan sikapnya yang sering
serba salah. Sedikit pendiam dan pemalu juga.
“Dalam bidang seni, selain bakat dan
usaha yang tidak mengenal jemu, rezeki dan nasib juga perlu diambil kira. Saya sudah berlakon lebih 50 buah drama
bersiri dan telemovietetapi selepas CAHAYA KRISTAL, saya lebih dikenali dan
rezeki saya melimpah. Bersyukur
saya pemberian Allah.”
Wartawan hiburan mengangguk dan
menulis laju. Hanya seketika
mengangguk, dia kembali menujah Neor.
“Kita lari sedikit ke persoalan
peribadi.”
Neor senyum lebar, tertawa juga
perlahan. Jelas tidak gemar persoalan
berkenaan peribadinya diungkit lagi.
“Saya rasa lebih elok jika persoalan
tentang saya hanya berkisar dalam kerjaya seni saya. Yang peribadi, tidak ada yang menarik.” Masih tersenyum dan tertawa perlahan.
“Ada, ada yang menarik dan yang ingin
peminat tahu tentang
saudara.”
Neor mengeluh perlahan, pun masih tersenyum. Pahit dan debaran disimpan kedap di sudut
hati paling dalam. Dia mahu tampak
tabah, tegas dan tidak takut. Berani
kerana benar, takut kerana salah. Itu
yang sering diungkap wartawan dan rakan-rakan sesama artis yang ikhlas dengannya dan ada juga yang hipokrit,
berusaha menjatuhkan.
“Dengarnya, Saudara Neor pernah
bercinta dan pernah juga terkecewa?”
“Dari mana saudari dengar ni?” soalan dijawabnya dengan soalan juga, senyum memanis.
“Dari sumber yang dekat dengan
saudara.”
“Kalau orang itu tidak berbohong,
jadi benarlah.” Ringkas dan padu
jawapannya.
“Saudara tidak menyangkal?”
Neor senyum lagi, tunduk dia
menguis-nguis permaidani yang dipijak dengan kasut kulitnya yang berkilat.
“Jadi, benarlah kekasih saudara
meninggalkan saudara kerana saudara waktu itu tidak punya pekerjaan tetap dan
berlakon pun sekadar watak ‘pak pacak’?”
Neor mengeluh lagi, luka yang sudah
tinggal parut, pedih lagi dik bisanya lidah gadis manis yang bertindak menyoalnya. Meski microphone
masih dihunus di hujung bibirnya tetapi Neor tidak berjaya menjawab. Tidak juga berusaha mencari jawapan.
“Kalau boleh, saya mahu melupakan
perkara lalu. Emak saya selalu berpesan
begitu. Dan kata emak, kalau hendak
berjaya dalam kehidupan, dairi lama yang sudah ditutup, biar terus
ditutup. Tak perlu dibuka dan dibaca
selalu. Cerita pada orang pun tak perlu.”
“Jadi benarlah saudara
dikecewakan?” yang itu juga disoalnya.
“No
comment.” Dia mahu menamatkan
temubual ringkas itu.
“Benarlah dakwaan, gadis itu
memandang harta dan kedudukan?” lagi hatinya dirobek.
Neor menggeleng perlahan, berusaha
menyembunyi kelukaan. “Waktu itu kami
masih mentah, masih terlalu muda. Masing-masing punya komitmen berbeza dan yang
lebih penting, tidak ada jodoh antara kami.
Kita tidak boleh menolak takdir Allah. Disebut berkali-kali perkara itu
pun hanya akan membuka pekung di dada. Ada baiknya cerita lama terus
ditutup.” Masih senyum dia dalam
kehancuran hatinya. “Kisah berakhir
sudah, diungkit dijungkil pun tak ada gunanya.”
“Di mana gadis itu sekarang? Tidak menyesalkah dia meninggalkan kekasih
yang sekarang digilai ramai?” tidak juga
wartawan itu menyudahkan persoalan wanita yang sudah hilang dari dunia Neor.
Neor sekadar menjungkit bahu,
mencebir juga memberi maksud tidak tahu.
“Ada apa-apa yang hendak saudara
katakan padanya sekiranya beliau menonton sekarang ini?”
Neor menggeleng pula. “Tidak
ada.” Terlalu perlahan dan serius
rupanya.
“Ok, ada satu lagi soalan yang
peminat nak sangat tahu.”
“Saya rasa cukup setakat ini, saya hanya mahu bercakap tentang drama CAHAYA KRISTAL
yang sedang ditayang di televisyen dan hari ini adalah pelancaran DVD drama
tersebut. Itu arahan penerbit. Sorry.” Neor mahu meninggalkan wartawan wanita itu.
“Saudara, Saudara Neor, tunggu.” Dia cuba diburu, tetapi dia lebih tangkas.
Langkahnya lebih panjang, menyelinap hilang.
Tidak sia-sia gelaran yang diberi di zaman persekolahannya, ‘jaguh
pecut’ peringkat negeri.
Majlis preview drama CAHAYA KRISTAL berakhir sudah namun masih ramai wartawan
memburu artis-artis yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam
drama tersebut. Neor sudah dinasihat agar menjaga perhubungan baik
dengan wartawan, demi reputasi drama tersebut.
Penerbit sejak awal-awal lagi memintanya agar bersabar dan menepis
persoalan wartawan dengan bijak sana.
Lebih-lebih lagi tahun itu dia dicalonkan sebagai artis drama televisyen
lelaki popular selepas memenangi anugerah pelakon baru, pelakon pembantu drama
televisyen dan setahun sebelumnya, menyandang anugerah pelakon lelaki drama televisyen popular.
“Apa
hal kamu tiba-tiba balik ni? Tak sibukkah?”
ganas benar ibunya merentap lamunan.
Harus berterima kasih juga dia kerana suara itu yang menggagalkan dia
berlayar menjejak pulau kenangan. Pulau
yang menempat sebanyak mungkin kisah dukanya bersama gadis pujaan. Pertemuan
dengan wartawan telah merintis semak,
memaksa dia kembali ke situ. Sakit sungguh dilukai, pedih sungguh
dikhianati…
“Rindu
emaklah…”
Makcik
Rominah senyum sumbing. Air kopi dihulur. Segera pula disambutnya.
“Tak
sibuk?”
Neor
menggeleng perlahan, cawan beralas yang baharu bertukar tangan diletak di atas
meja kecil di hadapannya.
“Kalau
banyak kerja, tak payah balik, emak sihat.
Lagipun untuk seminggu dua ni Rafiq masih bercuti, jadi, mak taklah
sunyi sangat.”
Neormengangguk
perlahan. “Rafiq bercuti panjang mak?”
Makcik
Rominah mengangguk senang.
“Mana
dia? Sejak Reza sampai petang tadi, tak
nampak-nampak pun dia?”
“Masa
Reza tertidur tadi, dia ada. Lepas
mandi, terus bersiap ke surau.”
Neormendongak,
jam dinding ditujah, memasti waktu tika itu untuk memasti bila lagi Rafiq akan
menjengah. Sejujurnya dia rindu gelak
tawa lelaki itu dan senda gurau mereka
selama waktu membesar, meski sering dibuli dan dikasari, namun dia menganggap
itu sekadar hiburan. Pengalaman kekeluargaan dan senda gurau persaudaraan.Dan jauh
di sudut hati, dia mahu memperbaiki perhubungan yang sudah ada seribu retak. Memang peribahasa Melayu ‘carik-carik bulu
ayam dan ‘air dicincang tidak akan putus’ itu benar namun sukar benar dia untuk
memperbetulkan keadaan. Mengeluh Neorperlahan. Air kopi yang sudah semakin suam, diteguk
perlahan selepas mempelawa Makcik Rominah dan wanita itu menolak lembut.
“Ha, malam ni sambungan drama minggu
lepas.” Makcik Rominah mencapai alat kawalan jauh televisyen di bawah
meja kopi. Cuba ditekan dan ditekan
tetapi ternyata gagal. Bangun pula dia,
peti televisyen yang gelap sejak tadi cuba dihidupkan. Ditepuk-tepuk juga untuk memperbetulkan
gambar yang merenik buruk.
“Kenapa mak?”
Makcik Rominah tertawa kecil.
“Meragam…”
“La, dah lama ke rosak?”
“Lama juga, tapi selalunya bila
ditepuk-tepuk, elok balik.”
Neormenggeleng perlahan, memerhati
gerak kerja Makcik Rominah yang semakin
tertekan kerana rancangan yang ditunggunya saban minggu sudah lima minit
berlalu. Neorbangun, mahu membantu. “Esok kita beli t.v baru.”
“Tak usah, yang ini elok lagi. Selalu macam ni.”
“Mak nak tengok cerita apa…?” senyum dia menangkap kekalutan Makcik Rominah
yang tampak kesal.
“Minggu lepas Reza dah nak kahwin
dengan perempuan tu, emak nak tau Reza jadi kahwin ke tak?” Makcik Rominah mengulas drama bersiri yang dilakonkan Neor.
“Mak kan dah tahu kesudahannya?” masih tersenyum dia sambil membetul-betulkan
antena yang bercabang dua di atas televisyen enam belas inci itu. Wayar
penyambung di belakang peti itu juga disentuh-senuh perlahan. Suara lakonan
langsung tidak kedengaran, yang ada hanya desiran beserta renikan seakan
semut-semut halus yang memenuhi seruang monitor televisyen itu.
“Mak tak tau, minggu lepas drama tu habis
begitu aja.”
“Betul mak tak tau?”
Makcik Rominah menggeleng, Neordirenungnya mahu mendengar
kesudahan drama Melayu 13 episod itu. Neorsenyum
terus.
“Reza kan tak jadi kahwin…” Asalnya hanya mahu bersenda tetapi
kedengarannya sayu benar.
Makcik Rominah terpaku, Neorditujahnya tajam. Sinar yang terbit dari matanya tampak kesal
benar.
“Mak minta maaf nak.” Tangan Neorsudah dipegang, lembut,
longgar. Lopak mata sudah bergenang.
“Emak, Reza bergurau aja.” Kekesalan Makcik Rominah menambatnya turut bersedih.
Makcik Rominah sudah meletak punggung pada kerusi terhampir
peti televisyen. Televisyen dan
rancangan kegemarannya sudah tidak dipeduli lagi.
“Mak tak berlaku adil pada anak-anak
mak.”
“Emak…” Neor turut meninggalkan televisyen yang masih
menerbit bunyi desir yang menyakitkan.
Duduk dia di kerusi di sisi Makcik Rominah. Tangan diletak pada peha
wanita itu, sebelah lagi, merangkul bahunya lalu ditarik merapat. Digosok-gosok
dan dipicit-picit bahu sebelah itu. Makcik
Rominah sudah memegang tangan Neor,
lembut, penuh kasih dan sayang.Digosok-gosok dan ditepuk-tepuk juga, persis
memujuk.
“Mak, Reza mintak maaf. Reza tak bermaksud nak buat mak sedih.”
Makcik Rominah mengangguk berkali-kali, ubun-ubunanak muda
itu dicium sekali. Neormembiar, rasa
selaut rindu tertebus dik hangatnya kasih sayang ibu itu.
“Arwah ayah kamu pun menyesal.”
“Sudahlah mak, mungkin ada hikmah di
sebalik apa yang berlaku….”
Makcik Rominah mengangguk perlahan.
“Mak, kenapa t.v tu?” tiba-tiba muncul Rafiq dari mulut pintu yang
ternganga. Tidak disedari sesiapa, bila dia
muncul dan berapa lama sudah di situ.
Tidak juga kedengaran ucap salamnya sewaktu menjengah.
Makcik Rominah berusaha mengering air mata yang masih
membasah. Neorturut bangun tergesa-gesa
menghulur tangan untuk bersalaman. Rafiq menyambut
juga meski tidak langsung menyambut manis senyum Neor.
“Dari surau?” tegurnya beramah mesra. Melihatkan gaya dan pakaiannya sahaja sudah
boleh diagak dari mana lelaki
itu, Neor sengaja mahu bertegur sapa.
“Hidup ini lawannya mati, jangan
ingat hidup menongkat langit.” Sidiran Rafiq
benar-benar menembus perasaan Neor namun tersenyum juga dia. “Dalam kubur nanti, Allah tak pandang
populariti, glamor tahap mana, peminat ada berapa ramai, ada fan club ke tidak. Nama glamor pun Dia tak akan sebut. Dia sebut
nama kita yang sebenar.” Lagi dia
menyakiti. “Nama elok-elok Mior Rezamudain
Mior Ahmad, memandai-mandai tukar ke Neor. Apa makna Neor entah?” sudah bertahun-tahun dia hidup atas nama itu
di pentas hiburan namun, Rafiq tetap menyebutnya juga.
Senyum juga Neor, mengangguk dalam
keterpaksaan. Berpura-pura tidak
langsung terasa disindir.
“Ramai orang disurau tadi?”
“Ramai yang lebih berminat menonton
drama yang tengah hangat sekarang.”
Semakin tajam nadanya, semakin mahu menyakiti Neor namun Neor tekal
bertahan.
Masih terdapat senyum di bibirnya, keluhan
ditelannya berketul. Sakit sungguh. Dia sudah
mengambil tempat semula. Makcik Rominah hanya menggeleng, tidak gemar mendengar sindiran-sindiran
Rafiq. Sakit hati Neor, sakit lagi hati ibu itu.
“Cerita rekaan, tak berpijak di bumi
nyata, melalaikan.”
“Apa yang kamu melalut tu Rafiq? Bukankah kamu pun gemar berhibur dengan
rancangan t.v?”
“Saya ni sekadar mengisi masa yang
terluang, yang saya tonton pun rancangan yang ada faedah, yang banyak
pengajaran, filem yang berkualiti. Cerita Melayu sorry nak layan. Low class….” Panjang dan terang sebutannya.
Makcik Rominah menggelenglagi, perlahan berkali-kali. Dikerlingnya
Neor seraya bangun mahu meninggalkan anjung yang semakin panas di dingin malam
itu.
“Mak tu pun nak tengok dramalah tu?”
“Ha ah, tapi t.v rosak.” Neortertawa pula, berpura-pura tidak berperasaan langsung. Sudah dilatih hati untuk menjadi si kebal.
Sudah diajarnya perasaan untuk tegal, tidak sensitif.
“Esok kita pergi pekan, belikan mak
t.v baru.” Pelawanya sengaja mahu
bermanis mulut.
Makcik Rominah sudah menghilang ke dapur mahu menyedia
hidangan makan malam sekeluarga katanya. Neorsedar koyakan luka dihati ibunya,
pun begitu berpura-pura juga tidak mengetahui apa-apa. Terus membodohkan diri.
“Tak kuasa aku nak layan. Beli t.v baru, besar, semakin melekat dengan
duniawi. Siang malam melangut menonton
pembohongan.”
“Tak baik cakap mak macam tu.”
“Heh.
Tak usah engkau nak tunjuk baik, tak payah nak mengajar aku. Sempurnakan diri tu dulu.”
Neormengeluh perlahan, tetap juga
duduk di kerusi rendah bertilam lembut.
Di kerusi hadapannya Rafiq sudah
turut bersandar. Kopiah putih yang dipakai
sejak tadi, dibuka, diletak atas meja kopi yang menempatkan secawan kopi Neor. Neor sudah menekan butang merah alat kawalan
jauh televisyen. Televisyen yang tidak
berjaya dibaikinya dan Makcik Rominah, terpadam. Gelap sudah cerminnya, hitam. Rafiq
tidak mempeduli, sibuk dia membetulkan rambut yang runduk dihimpit kopiah putih selama dia di
surau. Dia mahu merapi, serapi mahkota
milik Neor yang sentiasa terjaga, mungkin.
Memang sejak dahulu dia sering mencemburui rambut milik lelaki itu.
“Emak menangis tu sebab t.v rosakkah
atau sedih hero tak jadi kahwin?”
“Cukup-cukuplah tu Rafiq. Sudahlah, dari kecik sampai dah besar panjang
ginitak habis-habis bertengkar. Agaknya emak dah mati nanti baru nak
berbaik-baik dua beradik?”Makcik Rominah sudah kembali.
“Saya tak ada kaitan dengan dia.” Tidak menunjuk Neor tetapi semua di situ
tahu, dia yang dimaksudnya adalah Neor.
“Astaghafirullahhalazim….” Makcik Rominah merintih sayu.
Dahi ditepuk dengan tangan kanan, menunduk dia menahan sebak. Duduk dia di kerusi lain, sederhana panjang.
Neor sudah bangun lalu duduk di
sebelah Makcik Rominah, mahu memujuknya.
Bimbang benar dia melihat wanita yang sudah lewat usia itu tertekan
begitu. Rafiq bingkas, sudah tidak betah
dia di situ melihat sandiwara pujuk memujuk dua beranak itu.
“Emak, sudahlah…”
“Apalah malang aku ya Allah, anak dua
orang pun macam anak sepuluh. Kamu orang
bukan ramai, cuma berdua.
Berbaik-baiklah…”
“Mak, kami baik. Reza tak rasa apa-apa pun. Reza sayang semua. HanyaRafiq dan emak yang Reza ada.” Sudah bergenang air matanya, demi menyembunyi
kesedihan.
“Janji pada mak, usah berdendam, nak.”
Neor mengangguk, tidak terkeluar
suara dari rengkungnya. Makcik Rominah tidak berpuas hati, mata Neor
ditangkapnya. Neor kaku, tidak
berkesempatan menyeka air jernih yang sudah bergenang banyak. Dibiarnya Makcik Rominah mengertikan air
matanya. Dia hanya tersenyum pahit.
“Emak sayang semua anak-anak emak,
tak pernah mak pilih kasih.”
Neor mengangguk lagi. Bersetuju dan faham.
“Apa yang terjadi, sudah ditakdirkan,
usah disimpan atau dikenang lagi…”
Neor mengangguk lagi. Dibiarnya Makcik Rominah mencium ubun-ubunnya. “Lapar, mak
masak apa?”
Tersenyum pula Makcik Rominah ,
ditepuk-tepuk pipi Neor perlahan seraya mengangguk dan mengesat baki air mata.
“Rafiq, mari makan, nak.” Laungnya sedikit kuat namun Rafiq tidak
bersuara, muncul jauh sekali. Makcik
Rominah menghampiri bilik, pintu bilik
diketuknya perlahan, jelas berhati-hati.
Tidak mahu membeli baran anak itu.
“Makan, Rafiq….”
Pintu bilik dikuak ke dalam oleh
penghuninya. “Saya dah makan kat surau
tadi.”
“O, ada kenduri?” Neor beramah mulut juga, menyampuk.
“Tokki berkenduri kesyukuranZizei tak lulus ujibakat. Konon nak jadi artis. Heh, setiap perkara yang dibuat tanpa restu
orang tua, tak akan berjaya punya.” Puas
gayanya.
Tersentap lagi perasaan Neor, sakit
benar.
“Kata Tok ki, daripada jadi artis, baik duduk di kampung, menganggur lagi baik. Mengail ikan bilis dengan habuk-habuk.”
Mengeluh lagi Neor, parah lagi dia
tikaman Rafiq namun berpura-pura tidak cedera.
Diukir senyum kelat namun hati Makcik Rominah pula yang berdarah.
“Sudahlah nak, kita saja pergi
makan.”
Neor mengangguk, senyum juga. Bahu Makcik Rominah diraihnya, ditarik merapat lalu berganding ke
meja makan di ruang dapur.
“Emak masak apa?” tampak teruja membuka penutup hidangan di
tengah-tengah meja.
Makcik Rominah tersenyum manis, “sambil kamu tidor tadi,
sempat juga mak masak tempoyak ikan dengan timun tahun, jantung pisang rebus
cicah sambal belacan.”
“Hem, sedap…”
“Belum makan, dah sedap?” Makcik Rominah mengerling Neor di sebelahnya, ditepuk-tepuk
pipi anak muda itu, manja.
No comments:
Post a Comment