Thursday, July 2, 2009

BAB 2

entry-content'>

“Maaf nek. Lest tak bermaksud membuat nenek sedih.”

Wan Bada berusaha bermanis wajah, namun senyuman yang diukir ternyata pahit benar. Dia tersedan pula.

“Maafkan nenek. Nenek banyak berbuat salah.”

“Nek, Lest pulang ke sini untuk melupakan semua yang menyakitkan.

Wan Bada mengangguk bertalu-talu, bersungguh-sungguh. Cairan hidung disedut sekali sebelum menyekanya dengan lengan baju.

“Ya, kita lupakan semua yang menyakitkan, yang membuat kita dendam-mendendam.”

“Terima kasih nek.”

Wan Bada mengangguk. “Terima kasih cu. Lest sebaik umi Lest.”

Terlalu perlahan suaranya menyudahkan ayat terakhir. Wan Bada malu. Egonya tergadai sudah. Malah dilelong tanpa nilai.

“Lest cantik, macam umi Lest juga.” Semakin ligat pula dia memuji. Semakin berani.

Lestary tersenyum hambar, seakan tidak gembira mendengar pujian itu. Sepotong lagi pisang goreng digigit selepas menekannya pada gula di dalam piring lalu dikunyah perlahan. Seakan tidak lagi bernafsu. Sekadar menyembunyi perasaan yang mungkin sedang berantakan. Wan Bada ngerti namun didiamkan sahaja.

“Lest dah kahwin?” itu yang ingin ditanyakannya sejak lama dahulu. Sejak muncul rasa rindu. Ingin pula dia menimang cicit. Akan disayangi dan dimanjai selayaknya seorang kanak-kanak. Dia mahu menebus masa silam yang sudah berlalu jauh. Rindu benar dia pada zaman kanak-kanak Lestary. Pada keletah dan manjanya.

Lestary tersenyum lagi, menggeleng perlahan.

“Belum kahwin?” seakan tidak berpuas hati dengan jawapan bisu begitu.
Lestary hanya tersenyum manis. Bergetar senyumnya. Dia menggeleng perlahan.

“Kenapa?”

“Belum ada jodoh.” Bersahaja jawapannya.

Wan Bada mengangguk perlahan, bersetuju.

“Sepuluh tahun, Lest tinggal di mana?”

“Di luar negara.”

“Negara mana? Dubai?”

Dia menggeleng perlahan, seakan tidak gemar menyebut nama negara kelahiran ibunya itu.

“Habis? Negara Amerika?”

Lestary tersenyum pula.

“Jordan.”

“O. Jordan tu Negara Arab juga, kan?”

Lestary hanya tersenyum. Mengangguk hanya perlahan.

“Kerja?”

“Sehabis SPM, Lest terus ke sana. Habis belajar, Lest bekerja sambil belajar lagi.”

“Sekarang Lest nak bekerja di sini pulak?”

Dia mengangguk.

Wan Bada diam lagi. Mereka seperti baru berkenalan. Tersentuh juga hatinya. Sudah lama dia mahu mengetahui tempat persembunyian cucunya itu namun dipendamkan.

Acapkali sehabis solat, itu yang didoakan. Agar Allah memgembalikan cucu itu. Pulanglah… pintanya sendu. Dan akhinya….

“Lest rindukan Malaysia. Cadang nak menetap di sini semula.”

Wan Bada tergamam. Tidak disangkanya itu yang dikatakan cucu itu. Dia masih membisu sewaktu sepasang mata berwarna coklat itu meratah wajahnya seakan sedang merenggut egonya. Dia malu pula mahu mengemukakan permintaan supaya cucu itu terus bersamanya. Takut nanti diejek.

Lestary pula terus merenungnya, seakan menunggu maklum balas.

“Apa pendapat nenek?”

“Terserah Lest.” Itu yang mampu diungkapkan.

Lestary mengangguk juga meski tidak pasti.

“Nenek berharap benar Lest tinggal dengan nenek. Nenek sunyi.” Dicampaknya sendiri ego itu. Dia tidak mahu terus dibelenggu perasaan jahat.

Lestary tersenyum lagi. Meski senyumnya manis dan tampak ikhlas namun seakan menyindir. Itu yang difikirkan Wan Bada.

Dulu sewaktu gadis itu dan ibunya tinggal menumpang di situ, dia merungut, bising katanya. Walaupun Lestary dan uminya tidak pernah menganggu ketenangannya namun dia tetap benci hadir dua beranak itu. Tapi kini dia sudah bijak menggunakan perkataan sunyi. Malu sungguh dia, namun ditebalkan hati, tidak mahu Lestary kembali meninggalkannya seperti Daud yang pergi tidak kembali.

“Di penghujung hidup nenek, nenek mahu ditemani Lestary.” Bergetar bibirnya menuturkan itu. Malu tapi terpaksa.

Lestary tersenyum lagi. Tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Wan Bada direnungnya hanya seketika. Dia kembali memanah mulut cawan yang isinya sudah tinggal separuh. Hujung jari telunjuk meniti bibir cawan itu, mengikut bulatannya. Wan Bada turut merenung perbuatan itu. Hanan Alaa juga sering begitu dan Daud akan memain-mainkan jari telunjuk isterinya itu. Dielos dengan jari telunjuknya juga. Perlahan-lahan jari mereka meniti bibir cawan. Hanan Alaa akan tersenyum, manis juga senyum Daud. Kegembiraan mereka sering dikerlingan Wan Bada, cemburu benar dia.

Kenapa Daud begitu sayang pada isterinya? Sebab cantik? Atau baik? Atau memang begitu jiwa Daud? Tapi diwarisi dari siapa sedangkan Dahlan bengis. Bongkak. Tidak pernah bermanis wajah pada aku isterinya. Sering menjatuhkan air muka aku di depan keluarganya. Tetapi Daud lain. Sentiasa menjaga aib isterinya di depan aku. Menunjuk sayangnya pada perempuan tu di depan aku. Aku pula terasa dimalukan. Seperti tiada sayangnya pada aku.

Seekor cicak tiba-tiba jatuh terlepap di lantai, tidak jauh dari Wan Bada. Lestary pantas menoleh. Wan Bada lebih terperanjat dari Lestary yang tampak bersahaja. Wan Bada menggosok dada setelah cicak itu melarikan diri ke dinding semula. Terbang hayalannya.

“Tinggal di sini ya? Nenek sudah tidak ada sesiapa.” Disambungnya ayat tadi meski tidak tergantung.

3 comments:

MYA MARJA said...

Assalamualaikum,
Sehari satu bab, lama-lama jadi e-book. :D Tahniah, Kak Ila! Teruskan...

sf said...

moga terus lestari kak!

kak ila said...

mya marja & sf. dua adik yg tak pernah jemu ke sini. terima kasih sokongan adik-adik. doa kak ila mengiringi kamu berdua...


Free shoutbox @ ShoutMix