Monday, September 26, 2011

PENULIS DALAM & LUAR NEGARA (BEZANYA)

entry-content'>


Khabar Dunia: Duit muka sebelum berkarya
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2011/09/26
BEZA pengarang tanah air dengan penulis Barat daripada segi material bukan saja jumlah royalti yang diterima, bahkan kelompok sastera dan kreatif dari Amerika Syarikat (AS) mahupun Eropah menerima bayaran sebelum buku mereka ditulis lagi.

Ini kerana pengarang Barat menerima pembayaran pendahuluan daripada syarikat penerbitan apabila menandatangani perjanjian penerbitan untuk menghasilkan novel yang bakal diterbitkan.
Barangkali inilah sebab isu ‘kesetiaan’ tidak pernah menimbulkan keributan dalam industri buku Barat kerana mereka awal-awal lagi sudah diikat dengan perjanjian bertulis dan bukannya kesefahaman bersama yang hakikatnya boleh berubah-ubah.
Justeru dalam tempoh separuh abad ini, mekanisme pembayaran pendahuluan kepada pengarang memberi peluang yang besar kepada mereka untuk menumpukan perhatian dalam menghasilkan karya secara berterusan.

Sasterawan seperti pengarang AS, Norman Mailer dan Philp Roth AS kepada Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2003, JM Coetzee serta pengarang besar Czech, Milan Kundera di Eropah, dapat menerbitkan novel kerana didukung mekanisme pembayaran deposit itu.

Penulis selalunya menerima bayaran pendahuluan sebanyak dua kali, iaitu pembayaran pertama ketika menandatangani kontrak, manakala bakinya diberikan ketika pengarang menyerahkan manuskrip.

Bayaran royalti hanya diberikan sekiranya ia melepasi jumlah bayaran pendahuluan yang sudah diberikan, tetapi sekiranya buku itu tidak menguntungkan, penerbit tidak akan menuntut kembali bayaran pendahuluan itu.
Ini kerana bayaran pendahuluan dianggap imbuhan kepada masa dan tenaga yang dicurahkan oleh pengarang, manakala penerbit pula menganggapnya sebagai risiko yang wajar ditanggung oleh mereka.

Mekanisme pembayaran itu memang lazim diguna pakai khususnya di penerbit gergasi seperti syarikat yang mendapat jolokan sebagai ‘enam gergasi’ di United Kingdom (UK), iaitu Hachette Book Group, HarperCollins, MacMillan Publishers, Penguin Group, Random House dan Simon & Schuster, khususnya membabitkan pengarang ternama.

Bagaimanapun, revolusi digital mengubah model ekonomi dalam industri buku sehingga tidak hairanlah ejensastera, Ira Silverberg yang mengakui bayaran pendahuluan kepada pengarang baru semakin menyusut dan terhad.

Di AS, penerbit kecil terpaksa mengurangkan bayaran pendahuluan kepada pengarang sastera berbakat dengan bayaran sekitar RM3,100 (AS$1,000) hingga RM15,700 (AS$5,000), berbanding bayaran yang diperoleh pengarang mapan yang menerima antara RM157,000 (AS$50,000) hingga RM310,000 (AS$100,000).

Di Russia, syarikat penerbitan Goumen & Smirnova memberi bayaran pendahuluan antara RM6,300 (AS$2,000) hingga RM9,400 (AS$3,000) untuk penulis baru, manakala pengarang yang karyanya sudah mapan mendapat antara RM15,700 (AS$5,000)-RM22,000 (AS$7,000).

“Ada beberapa nama besar di Russia yang syarikat penerbitannya saling membuat tawaran sehingga melonjakkan nilai bayarannya, tetapi trend pembayaran deposit semakin rendah selepas era keemasan pada pertengahan 2000,” Editor Kanan Goumen & Smirnova, Julia Goumen dipetik berkata dalam laman web Publishing Perspectives.

Bagaimanapun, syarikat penerbitan yang lebih kecil seperti Ivanov hanya menawarkan bayaran pendahuluan untuk karya cereka sebanyak RM3,100-RM6,300 (AS$1,000-AS$2,000), manakala buku ketiga dan keempat sebanyak RM9,4000-RM15,700 (AS$3,000-AS$5,000).

Novelis di United Kingdom (UK) menerima bayaran pendahuluan RM34,000 (£7,000) yang diberikan dalam bentuk ansuran yang lazimnya sebelum penyuntingan dan pemasaran.

Sesekali ada pengarang yang bagaikan bulan jatuh ke riba seperti novelis Irish, Kathleen MacMahon yang menerima bayaran pendahuluan kira-kira RM3juta (£600,000), sekali gus menjadi penulis yang mendapat deposit paling mewah.

Novel MacMohon, So This Is How It Ends yang mengangkat kisah cinta antara ahli perbankan berbangsa AS dengan penganggur Irish itu memukau syarikat penerbitan Little sehingga sanggup mengikat pengarang terbabit.

Editor Kanan Little, Rebecca Saunders, menyifatkan novel MacMahon seperti serbuk emas kepada editor apabila menghabiskannya sepanjang malam selepas ejen sastera menyerahkan manuskrip itu di Pesta Buku London pada tengah hari sebelumnya.

“Selepas membacanya, saya mengirimkan manuskrip itu kepada rakan sekerja di Australia dan Ireland, lalu mendapat reaksi yang sangat mengagumkan.

“Bukan kami saja daripada kalangan penerbit yang berpandangan demikian, tetapi juga ejen berkenaan mula menerima reaksi serupa daripada mereka. Kami bertindak pantas mendapatkan kontrak penerbitan sebelum penerbit lain habis membacanya dan mula membuat tawaran,” katanya seperti dipetik akhbar The Guardian.

Sebulan sebelumnya, pengarang AS, Karen Thompson Walker menandatangani kontrak penerbitan bernilai kira-kira RM2.5juta (£500,000) daripada Simon & Schuster untuk novel sulungnya, The Age of Miracles.

Pada 2009, pengarang sains fiksyen kelahiran Wales, Alastair Reynolds, mengejutkan industri buku di UK apabila menandatangani kontrak 10 tahun untuk 10 novel dengan Gollancz yang bernilai RM5juta (£1 juta).

Mekanisme pembayaran pendahuluan yang dapat menampung kos hidup pengarang sekurang-kurangnya sebulan dua sepanjang proses kreatif mereka wajar diguna pakai dalam mandala sastera tanah air.

Ia bukan saja dapat mengatasi keributan dalam soal ‘kesetiaan’ pengarang, bahkan berupaya merancakkan lagi industri buku apabila pengarang dapat menggunakan masa secara optimum dalam menghasilkan karya yang terbaik.

Malah, ia juga dapat menjawab persoalan klise yang sudah lama berlegar dalam kotak sastera dan penulisan kreatif tempatan, iaitu bolehkah penulis tanah air hidup dengan semata-mata bergantung kepada penulisan buku

No comments:


Free shoutbox @ ShoutMix