Maisarah tersentak,
serta merta bangun lalu meletak novel yang dibacanya di atas meja kecil di sisi
kerusi. Berkali-kali dia mengesat air
mata yang masih berbaki di lopak matanya.
“Bila abang balik?”
“Mana nak sedar,
kalau asyik sangat dengan buku cerita?”
Zulfakar berdengus kasar, bangun
dari tempat duduknya lalu menuju ke dapur.
“Maaflah, Sarah tak
sengaja. Pagi tadi, abang kata, abang
tak balik makan.” Maisarah menurut dari
belakang, gayanya seperti benar-benar ketakuan.
“Habis? Tak
masaklah? Awak nak saya makan buku
cerita? Ingat saya lipas?” suara tidak
menengking tetapi cukup menakutkan Maisarah.
“Dah, Sara dah masak. Cuma belum berhidang. Abang duduk dulu, Sara panaskan lauk.” Dia sudah menarik sebuah kerusi makan untuk
Zulfakar duduk menunggu.
Zulfakar mengerling,
Maisarah tergesa-gesa
menghidupkan api dapur untuk memanaskan lauk-pauk. Nasi
di dalam periuk nasi elektrik masih suam, hanya disendukkan ke dalam mangkuk
dan diletakkannya di atas meja. Ikan
yang sudah sedia digaram kunyitkan sejak pagi tadi, dicelup ke dalam kuali
berminyak yang sudah dipanaskan.
Zulfakar masih merakamkan
pemandangan itu. Sesekali dia senyum
sendiri apabila membandingkan isterinya dengan pelakun Osyin, sebuah drama
Jepun yang ditayangkan di televisyen Malaysia satu masa dahulu.
Sama macam perempuan dari negara Jepun, kalut, setia
melulu. Desis hati kecilnya
selalu. Jeritan Maisarah yang terkena percikan minyak panas yang
merembes keluar dari kuali menggoreng ikan, merentap lamunan Zulfakar.
Dia bingkas dari duduk lalu berkejar menghampiri
Maisarah yang sedang membersihkan
mukanya di sinki.
“Kenapa?” suaranya
tidak kasar, lebih kepada bimbang.
Maisarah diam, masih
sibuk membasuh muka dengan air paip.
Zulfakar berang
apabila pertanyaannya tidak diperdulikan.
Dia menarik bahu Maisarah untuk ditegakkan, kasar. Dia mahu melihat apa yang dialami
isterinya.
“Kenapa?” suara
meninggi, marah.
“Kena percik minyak.” Rungut Maisarah perlahan, manja, namun ketakutan. Matanya masih belum boleh dibuka kerana
tempat percikan begitu hampir dengan mata kirinya.
“Kena kat mana?”
Zulfakar sibuk menggosok-gosok
muka Maisarah untuk memastikan tempat
percikan. Kelopak mata ditarik dengan
dua jari untuk mengesan sama ada
percikan itu mengena dalam mata.
“Kat sini.”
Maisarah menunjuk di bawah
matanya yang sudah memberi kesan berwarna merah dan sedikit membengkak.
“Hah! Hangus!” Maisarah
kecuh apabila tiba-tiba teringat pada ikan yang digorengnya. Zulfakar ditolak kasar ke belakang, dia
tergesa-gesa mengecilkan api dan membalikkan ikan dengan sudip bertangkai
pendek. Air dari tangannya, menitis ke
dalam minyak di dalam kuali. Minyak
panas itu sekali lagi memercik, Zulfakar
yang masih berdiri di belakangnya pantas menarik Maisarah, menjauh dari dapur. Dia memeluk Maisarah dalam beberapa saat sebelum dilepaskan
apabila mendapati minyak panas sudah berhenti memercik.
“Inilah akibatnya bila kerja kelam kabut!” tegas
Zulfakar meninggalkan dapur. Dia sudah benar-benar marah.
No comments:
Post a Comment