Sunday, July 21, 2013

SAKITNYA CINTA

entry-content'>

 
BAB 4



“MACAM mana kes hari tu?”
Mutiara  meletak sudu di pinggan, air batu kosong dari gelasnya pula disisip perlahan.  Dengan keluhan longgar, Ezeti  seakan dapat mengagak ada yang kurang enak.  Dengan sepasang matanya dia menumpu.
“Rupa-rupanya dia pernah didakwa memberi keterangan palsu di mahkamah.”
“O?”  kaget Ezeti.  Mata Mutiara    ditangkap deras.“Keterangan palsu untuk apa?”
“Masa bagi keterangan sebagai saksi.”
Mutiara     menjungkit bahu dan mengeluh lagi perlahan.  Lama pula renungan mereka bertembung, Ezeti  menunggu.  Berminat dia meski tiada kaitan dengannya.  Sekadar perhubungan longgar antara mereka, dia tidak sepatutnya begitu prihatin.  Tetapi dia gemar mendengar susur-galur kerjaya mu selain  simpati benar pada wanita malang ditemuinya beberapa hari sebelum.
“Dia didakwa di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan akan dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.”
“Kenapa dia melakukannya? Mesti ada sebab?”
“Soal punya soal, rupa-rupanya itu cara dia hendak lari dari cengkaman suami yang menderanya zahir dan batin.”
Berkerut kening Ezeti. 
“Dia menjadi hamba sex suami, disewakan juga kepada lelaki lain oleh suaminya, penagih najis dadah.”  Tampak kesal benar dia.  “Lebih teruk lagi, suaminya selalu menyalahkan nasib malang dia menyebabkan mereka hidup dalam kesusahan.”
Ezeti geleng perlahan. “Dari dulu sampai sekarang, wanita selalu diperguna lelaki.”
“Itulah pasal. Selalu suami menyalahkan isteri bila mala petaka diturunkan Allah. Tapi mereka tak sedar, tanggungjawab melengkapkan keluarga adalah suami. Hem, sebab itulah aku tak suka jantan.”
Ezeti tertawa perlahan.  “Yang namanya jantan.”  Sedikit keras namun nada perlahan.  “Lelaki bagus…” merendah, memanjakan suara.  Senyumnya terkulum, bersenda.
“Jantan dengan lelaki susah nak bezakan kalau dalam kelompok manusia.  Kadang-kadang kita tengok dia macam lelaki, rupa-rupanya jantan yang keparat.”  Serius, nada bersenda.
Ezeti tertawa perlahan meski kedengarankata-kata Mutiara  serius.
“Sebenarnya cerita tadi rahsia, Ira tak sepatutnya dedahkan kepada umum.”
“Ala, aku tak akan bongkar rahsia ni, sementelah aku kenal kakak tu dan aku bercadang nak tolong dia, jadiakukena tahu kenapa dia begitu dan apa sebabnya.”
Mutiara   mengangguk perlahan.  Dia akui, Ezeti  adalah penyelamat anak guamnya dari membunuh diri serentak dengan anak-anaknya sekali akibat kekecewaan.
“Timbalan Pendakwa Raya yang mengendali kes itu mengenakan ikat jamin RM3,000.”
“Dia bayar?”
Mutiara   angguk perlahan.  “Katanya hanya itu duit yang dia ada untuk sara hidup anak-anak.  Dengan menyerahkan tiga ribu itu, dia dah tak berduit lagi untuk menyara hidup lima orang anaknya.  Sebab itu dia nekat merentap nyawa semua mereka.”
Ezeti  mengeluh perlahan, menggeleng juga berkali-kali.
“Kenapalah suntuk benar fikirannya?”
“Dalam keadaan tertekan manusia akan melakukan apa sahaja, lebih-lebih lagi yang rendah imannya.”
Ezeti  angguk, senyap.  Menunduk dia memain-mainkan ketul air batu di dalam gelas dengan batang strow.
“Begitulah nasib wanita selepas berkahwin.  Untung sabut timbul…”
“Untung batu tenggelam….”  Ezeti  menyambung.
Tertawa mereka bersama, perlahan.  Tidak lama ledaknya, senyap kembali.  Ternyata tawa mereka tidak berisi gembira, bahagia jauh sekali, sekadar bunga kemesraan.
“Kahwin pilihan orang tua barang kali? Tak sempat mengenali hati budi bakal suami.”
Mutiara  menggeleng keras.  Berkerut juga keningnya.  Ezeti  menunggu.
“Saling mencintai, kenal juga lama.  Suaminya berubah selepas diberhentikan kerja.”
Mengeluh lagi Ezeti, sedih benar dia.  “Sekarang, kita boleh  melawat dia?”
“Boleh rasanya.  Ira dah beritahu dia, you kirim salam dan bercadang nak melawat dia.”
“Eh, boleh tak kita jaga anak-anaknya?  Tak sampai hati biar tinggal di rumah anak-anak yatim.”
“Ibunya masih dalam kes…”  Mutiara  senyum sinis.  “Budak-budak tu dilindungi di bawah akta hak kanak-kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat.”
So, macam mana sekarang?”
Mereka dilindungi sepenuhnya.”
“Selama-lamanya?”
Mutiara   geleng.  “Sementara rawatan psikiatrik ke atas ibu mereka dilakukan dan pendakwaan di mahkamah di atas  percubaan membunuh, selesai.”
“Sah dia gila?”
“Bukan gila, tapi gangguan fikiran akibat tekanan emosi.  Dia ingat semua perkara, cuma sesekali akan hilang pertimbangan.”
“Kesian….”Ezeti  mengeluh perlahan.
“Kalau you sayang dan kasihan, jengahlah selalu.  Bagi semangat, bagi kasih sayang.”
Ezetiangguk  perlahan.  “Anak-anak dia comel…”
Mutiara  senyum lagi.  Mengangguk juga.
“Kalaulah aku dapat anak-anak seramai itu, secomel itu, alangkah bahagianya.”
“Berangan untuk kahwin dulu, baru  berangan dapat anak.”  Mutiara  menggiat.
“Tak payah kahwin tak boleh? Aku  nak anak aja.”
Mutiara  mengerling tajam.
“Yousempurna, kan? Jangan-jangan hormon androgen tinggi tak?”
“Wei, semestinya aku wanita tulin.  Berhormon estrogen dan progesteron, tau?”
“Habis tu, yang tak nak kahwin ni apa pasal?”
“Engkau nak kahwinkah?”
Mutiara tertawa perlahan, menunjuk rupa tidak berminat.
Ezeti menjungkit kepala, bertanya dengan soalan berisyarat.
“Nak kahwin dengan siapa?”  menurun intonasinya.
“Dengan lelaki, lah.”
“Nak cari yang namanya lelaki tu yang susah.”
Ezeti tertawa perlahan, Mutiara  turut tertawa.
Mengangguk Ezeti  perlahan.  Kepada Mutiara diberitahu rancangannya untuk ke hospital, melawat wanita malang yang diperkatakan mereka.  Katanya, selepas ke hospital dia akan ke rumah anak-anak yatim pula, melawat lima beradik yang hampir menjadi mangsa  bunuh ibu sendiri yang tertekan fikirannya.  Mereka nyaris maut selepas memakan makanan yang sudah diracuni ibu sendiri.
“Sekarang cik peguam menangani kes apa pulak, selepas berjaya kes tuntutan nafkah RM1 juta bekas isteri hartawan?”
Mutiara  senyum senget, air batu kosong disisipnya lagi.
“Zet berminat benar pada kerja Ira, ya? Kenapa tak jadi peguam aja dulu?”Mutiara  seakan mahu memulang ‘paku buah keras’.
“Berminat tak semestinya nak menceburi, sekadar tahu, pengetahuan am, kan?  Lagipun  aku tak sepandai engkaudalam memutar belit fakta.”  Tertawa dia di hujung sendanya.
“Hei, peguam tak semestinya pandai membelit, yang penting, semangat menegakkan kebenaran dan membantu yang teraniaya.”
“Semangat begitu pun aku tak ada.  Orang seni hanya tahu seni, menghiburkan dan mengusik parasaan orang, juga keuntungan.”  Tawa Ezeti  meledak.  Mutiara  turut tertawa namun dikawal, tidak setinggi tawa Ezeti.
“Ira  mewarisi bakat walid, aku macam umi.  Sebuah kombinasi yang cukup baik.”  Ezeti menyambung, Mutiara  diam cuma.  Mengeluh dia dalam diam.

KUBAWA salam bulan dan catatan rindu seorang penyair, ingin kuungkap kata cinta tapi kepada siapa? Ingin kulukis lakaran kasih tapi potret yang mana….  Menggeleng dia berkali-kali.  Sudah lebih satu jam senaskah itu berpeluh dipegangnya, difahami langsung tidak, dihafal jauh sekali.Peristiwa sepetang bersama Ezeti  juga rancak bergentayangan, bermain tanpa pengarah mahupun penerbit.  Pelakonnya hanya mereka bertiga.  Meski ada anak-anak kecil meriangkan namun dia bagaikan tuli. Rakan Ezetiitu juga yang memenuhi, menggugah perasaan.Sudah berkali-kali dia terkenangkannya.
“Kenalkan, Mutiara.Ira, ini Neor.”  Seringkas itu.
Dia  mengangguk cuma, manis senyumnya.  Sungguh menjaga santun dan pekerti, tidak seperti di kalangannya apabila berkenalan, akan bersalaman dan ada kalanya bersentuhan pipi meski berlainan jantina.  Segalanya dikira Neor dalam diam.  Disisipkan renungan jauh ke salur hati gadis itu.  Menilik bagaimana orangnya dari sudut pandangan mata hati.  Jelas punya seribu kelebihan, istimewa sungguh dia.
Mata terpaku terus melekat, bibir berjaya mengorak senyum meski bergetar namun sempat dimaniskan.  Sempat juga diajar jantung untuk berdegup mengikut rentak biasa.  Dipesan pada hati agar bertenang dan bersabar….
“Hai, saya Neor, Mior RezamudinMior Ahmad.”  Geruh suaranya.  Dia sendiri mendengar kekalutan itu.“Panggil saja saya Neor.”  Bagai tidak berpuas hati cara Ezeti memperkenalkannya kepada gadis itu, dia bertindak memperkenalkan diri sendiri agar lebih lengkap, lebih padat.
Gadis itu sekadar senyum mengangguk hormat.  Manis sungguh, cantik sungguh dan segala-galanya tersedia di seraut wajah lembut itu.  Neor mengeluh perlahan.  Empat puluh lima minit bersama bagaikan hanya satu minit berlalu.  Tidak ada lagi perkataan yang cicir dari lengguk lidahnya, hanya bisu.  Helaan nafas bagaikan mencekik khalkom, tidak membenar dia menutur apa-apa.  Hanya mendengar perbualan dua sahabat itu.
“Terima kasih, jumpa lagi nanti, assalamualaikum.”  Kata-kata terakhir dia kepada Ezeti  pastinya namun Neor mewakilkan dirinya mendahului.
“Ya, jumpa lagi, waalaikumsalam…”  manis senyumnya rasa ikhlas sungguh. 
Kesal juga tidak mengambil kesempatan selama empat puluh lima minit itu sebaik mungkin.
Masih banyak masa lagi…. Pujuknya sendiri.  Direnung sekeliling ruang yang lengang. Sudah kian sepi seruang kondorminium itu sesepi hatinya yang kosong.  Sejak pertemuan dengan sahabat Ezeti siangnya, sampai ke kelam malam itu, wajah manis yang sering menjelma dalam hayal dan mimpinya kekal bergentayangan. Rindu kian memanas.
Dia kan kawan baik Zet? Esok lusa ajaklah mereka keluar makan.  Masih juga mahu memujuk sendiri.  Senyum lagi dia.   Wahai hati, sabarlah.  Mungkin belum masanya, jodoh kan rahsia Allah?  Mengeluh lagi Neor, ringan lagi dia dibawa merentas.  Teringat kembali percintaannya bersama yang tersayang lama dahulu.  Meski sudah berjanji untuk tidak mengenang dan mengingati apa yang sudah ditinggalkan, sesekali sesat juga perasaannya. Yang itu, itu juga terkenang dan dikenang.
“Nanti kalau dah pergi bandar, jangan lupa kampung.”
“Mana boleh lupa, tempat jatuh lagi dikenang…”  senyum dia melirik ke sebelah.  Anak tangga rumah tua itu sering menjadi tempat mereka bertenggek selain pangkin di bawah pokok jambu di halaman.  Sudah banyak janji setia terakam di situ. Ibunya tidak melarang, menggiat juga tidak.  Cuma pandai-pandailah menjaga maruah, katanya selalu.
“Selagi bergelar umat Islam, bangsa Melayu dan masyarakat Timur, maruah diri dan nama baik keluarga mesti diutamakan.”
Dia dan buah hatinya akur sentiasa.  Tidak akan diizin orang ketiga menghancur iman dan menggegar agama. Tidak juga mahu ada mata melihat mereka sumbang, dia mahu orang melihat mereka sekadar sahabat karib.
“Awak nak kerja apa di sana nanti?”
“Kerjalah apa-apa pun asal halal.”
“Di sini juga tak kurang pekerjaan yang halal…”
“Kat sana senang sikit nak dapat peluang.”
“Peluang apa? Peluang jadi penyanyi?”
Dia sekadar tersenyum.  Dia tahu, dia tidak pernah berjaya menyorok dari gadis itu.  Lamanya perhubungan mereka dan eratnya silatulrahim, tidak membenarnya menjadi perahsia.
“Itu pun rezeki halal juga, kan?”  bijak juga dia membujuk.
“Saya minat seni, menyanyi cuma loncatan, saya nak mengetengah bakat saya mencipta lagu.  Banyak sudah lagu-lagu yang saya cipta tapi terus tersimpan.  Kan baik kalau dapat saya manfaatkan?”  dia nampak gadis itu mengangguk berkali-kali.
“Saya sokong minat dan kesungguhan awak.  Awak memang berbakat, pergilah mencuba nasib.”
“Awak tak kisah kalau saya pergi, awak tinggal di sini?”
“Saya dah besar, pandai jaga diri.”
Neor senyum cuma, jawapan yang langsung tidak mengujanya.
“Lagipun apa nak takut, ini kan kampung saya?”
Neor tertawa pula, ligat, lama tetapi terkawal.  Tawanya berbaki senyum panjang.
“Bukan saya nak kata awak takut….”
Tawa gadis itu berbunga juga, mekar sudah halaman perasaan disiram wangian juga.  Ke dua-duanya terhibur sungguh.
“Pergilah, tamat kontrak saya  nanti, saya akan mencuba nasib bersama awak.”
“Betul?”
Anggukan gadis itu disambutnya.
“Saya bercadang, selepas tamat kontrak, saya tak nak sambung lagi.  Nak cari kerja di bandar pulak.  Sambil tu nak sambung belajar.”
Bersetuju benar dia.  Dalam hati bertaman rasa ria, pelangi diukir bersama tasik madu, untuk menangguk secangkir manisan itu untuk si tuan puteri.
“Tak sayang tinggalkan kampung?”
“Nantipun kita boleh balik selalu, kan?”
“Kita?”  teruja lagi dia menangkap senyum si manis.
Telefon bimbit bernada singkat memberi amaran ada pesanan ringkas, bolos, sekali gus merentap fikiran yang melayang.  Segera diangkatnya telefon di sisi. Ditekan kekunci buka, disemak laman pesanan.  Senyum dia berdengus perlahan.  Hanya pesanan dari CELCOM.  Dilepasnya semula telefon bimbit itu.  Sedikit kecewa.
Sudah lebih 6 tahun berlalu namun pedih semalam, sesekali masih terasa denyutnya dan kadang-kadang luka itu membuat dia mengunci hati untuk insan lain.
Neor mengeluh perlahan.  Gambaran gadis yang pernah menjadi pujaannya direnung dalam samar perasaan.  Sudah lama dia tidak menatap seraut wajah itu, meski sekeping potret tidak dibenar tersimpan.  Tidak benci pada kenangan lalu, cuma tidak mahu sebarang tanggapan serung dari sesiapa.  Maka jadilah dia pungguk yang merindu bulan di siang hari, malamnya pula dia menjadi buta. Akhirnya dia sekadar  membayang bagaimana rupanya bulan itu.
“Di mana Fifei sekarang?” 
Sebaik tersedar kelancangannya menyebut seuntai nama singkat itu, dia menutup mulut.  Beristighfar dia perlahan.  Sudah 7 tahun aku belajar melupakannya, mana mungkin malam ini menyebutnya semula!  Dia membentak sendiri.  Sakit rasa dadanya dik bentakan itu.  Marah benar dia.  Mengeluh pula, berusaha merawat kelukaan yang tiba-tiba.  Semakin dirawat semakin pula melarat sakitnya.  Berdarah pula.  Lagi dia sesat ke lembah semalam….
“Selamat hari jadi, semoga hari ini lebih baik dari semalam….”   Segulung kertas putih berikat reben berwarna merah dihulur.
“Apa ni?”
“Tengoklah sendiri.”   Manis lagi senyumnya.
Segulung kertas berikat itu sudah melonggar di jemari.  Sekilas nafas dihela, terbentang sudah sebuah potret berlukis pensil hitam.
“Cantiknya, terima kasih….”  Dia hampir terjerit.
Fifei sekadar senyum.  Manis sungguh, ikhlas benar dia.
“Berapa lama ambil masa melukis ni?”
Fifei  menunjuk dua batang jarinya yang ditegakkan.
“Dua hari?”
Dia angguk cuma.
“Wah, sesingkat itu?”  teruja dia bakat yang dimiliki gadis itu.
“Terima kasih, potret ni lebih cantik dari saya sendiri.  Awak memang berbakat.”
Fifei  mengucap terima kali lagi.  “Nama pun cikgu lukisan kan?”
Neor mengangguk faham.  “Cikgu memang berbakat…” pujinya lagi sambil mengusik.  “Tapi tak kan nak jadi guru sandaran dan guru ganti selamanya?”
“Dapat peluang nanti, saya pergilah…”
“Bagus, saya akan jadi guru muzik.”  Tawanya meledak sedikit kuat. 
“Tapi mengajar di institusi muzik, bukan sekolah. Nak jadi cikgu sekolah, kena ada ijazahlah pula. Sedangkan SPM pun cukup makan.”  Lagi dia tertawa, mengutuk diri sendiri.
“Cikgu juga namanya kan? Asal didikasi, jasa guru sentiasa dikenang.”
Serambi rumah tua itu disemah kuntuman bunga yang mewangi namun terkawal. Kembangan hanya berlengguk di tangkai sendiri-sendiri, tidak langsung mencemar adap dan budaya.
“Kita warnai dunia ini dengan seni-seni halus yang membahagiakan.”
Senyum ke duanya, mengangguk juga bersungguh-sungguh.  Hening  sungguh petang yang dijejak menyusur senja. Makcik Rominah   tersenyum-senyum dari ruang tengah, menggeleng juga perlahan sambil terus melipat pakaian yang diangkat dari jemuran.  Katanya dia tidak pernah   curiga pada keakraban mereka selagi pertemuan-pertemuan berlaku di hadapan matanya.  Neor dan Fifei  sendiri selesa berbual begitu dari meminggir dari mata khalayak.  Mereka lebih gemar terbuka dan bersaksi juga.
“Saya nak fremkan gambar saya ni.”
Up to you, awak punya sekarang. Terpulang nak buat apa, asal jangan dibuang atau dibakar.”
Dia tertawa lagi.
“Berapa hari cuti?”  Fifei  menukar perbualan.
“Esok nak balik dah.”
“Sekejap je cuti?”
“Pemuzik kelab malam macam saya ni, ada kerja ada gaji.”
Mengangguk Fifei  perlahan, bersungguh-sungguh.  “Berusahalah.”
“Awak tak jijik pada pemuzik macam saya?”
“Kenapa saya nak jijik, seni itu bersih, kan?  Yang penting orang macam kita mengekalkan kesucian itu.”
Senyum Neor berbunga senang. “Beruntung saya dapat awak.  Faham jiwa saya.”
“Awak dah dapat saya ke?”  berkerut keningnya, dalam senda dia serius.
“Awak, jangan cakap macam tu. Saya sungguh-sungguh cintakan awak.”  Dia sedar, saat itu dia sangat-sangat emosi.  Melihat seriusnya Fifei, dia menjadi takut akan kehilangan.
Fi,”  rasa gementar dadanya mahu menyudahkan nada bisikan serius itu. 
“Kita bertunang?”  lagi memperlahan intonasi. Tidak mahu ada yang lain mendengar.
Kedengaran tawa Fifei  melantun sedikit kuat, ditutup mulutnya dengan tangan kanan. Merah juga mukanya mungkin mengawal malu.
“Apa yang riang benar berdua ni?”  tiba-tiba ibunya muncul membawa sedulang hidangan ringan.  Rupa-rupanya sewaktu dia menghilang selepas selesai melipat pakaian, ibunya menyediakan air pambasah tekak.
Fifei  pantas bangun, senyum masih berbaki.  Dulang air bujang disambutnya lalu diletak di atas meja hidang di hadapan mereka.
“Tak payah susah-susah Mak Ro.” 
“Tak susah mana, air bujang aja.” Makcik Rominah   meletak punggung.
“Mak, kalau kami bertunang, mak setuju tak?”
“Reza…”  Fifei  menolehnya dengan kening berkerut.  Malu pastinya.
Dia tidak mempeduli, Makcik Rominah   juga direnungnya mengharap kepastian dan persetujuan.
“Kena hantar wakil merisik dulu.  Tapi Fifei  dah bersediakah?”
“Saya masih nak sambung belajar.  Kerja tetap pun tak dapat lagi.”  Ada manis di wajahnya walaupun jawapan di bibirnya memberi maksud menolak.
Makcik Rominah   menangkap sinar mata Reza.
“Lepas bertunang boleh juga belajar, kan mak?”  dia masih bertawar-menawar.
“Mak saya mesti tak benarkan…”  sayu rintihnya, Neor faham. Orang tua Fifei  sudah dikenali keperibadiannya.  Pada mereka, pelajaran perkara utama.
“Beginilah, Reza  ada cita-cita, Fifei  pun ada cita-cita.  Tak perlulah bertunang dulu, dah cukup duit, dah tamat belajar, kahwin aja.”
“Awak tunggu saya?”  dia mahu Fifeinya bersumpah setia  bersaksi ibunya.  Mahu bertunang cara begitu.
Fifei  rupa-rupanya bersetuju sangat.  Perjanjian tercipta bersaksi wanita separuh usia itu.  Tidak langsung malu mereka memeterai janji sementelah Makcik Rominah   cukup memahami dan benar-benar menyenangi persahabatan yang terjalin sejak zaman kanak-kanak.  Seutas rantai emas putih halus, berhias sebiji berlian kecil dihulur kepada ibunya.
“Reza  belinya masa dapat gaji pertama.”
Makcik Rominah   menyambut, dibelek sekilas sebelum beralih kepada gadis yang sudah senyap di sebelahnya.Neor  di hadapan mereka hanya menghidang senyum manis.
“Untuk Fifei?”
Neor mengangguk.  Ibunya turut mengangguk lalu menyerahkan kepada Fifei. 
“Abang Reza  bagi sebagai tanda.”  Disimpankannya ke dalam tapak tangan Fifei.
Fifei  membelek pula.  “Tak perlulah bagi apa-apa…”
“Ambillah, Reza ikhlas.”
“Untuk mak?”  Fifei  menoleh Neor pula, mungkin berasa ragu menerima pemberian semahal itu di hadapan ibu itu.
“Mak pun dia belikan juga, ini ha.”  Seutus rantai emas kuning di lehernya ditunjukkan.
Fifei  berpuas hati dan mengucap terima kasih, bersungguh-sungguh benar.
“Lepas ni saya akan bersungguh-sungguh bekerja untuk kumpul duit banyak-banyak.” 
Mengangguk-angguk ibunya, bersetuju.  “Lelaki mesti ada kerja tetap, rumah, kenderaan, sebelum meminang anak dara orang.  Barulah orang tak ragu-ragu serahkan anak mereka.”  Ibunya menambah semangat.
“Hah.”  Terhambur dengusan keras.  Marah pada rakusnya perasaan membawanya mengutip kenangan indah itu.  Sudah lama kenangan itu tidak melintas, sudah diajar hati agar tidak terhanyut. Tidak sudi lagi dia mengenang silamnya tetapi sejak akhir-akhir, Fifeinya seakan dekat.  Sudah sering muncul bertamu di dalam hati.  
Ditongak frem gambar yang dilukis buah hatinya, direnung lama.  Setiap hari akan dilakukan begitu, tidak langsung jemu dia.  Rindupun bertaut.  Malam itu berlainan benar perasaannya.  Hairan benar dia. 
Telefon dicapai, nombor telefon Ezeti  dicari laju. Ditekan kekunci panggil dan menunggu dia untuk beberapa detik yang singkat.
“Zet, saya  nak kenal kawan awak tadi, boleh?”  lancar benar ungkapannya disudahkan dengan senafas yang singkat juga.
“Tadi bukankah dah kenal dia?” berbaul nakal.
“Saya nak kenal rapat…”
“Apahal ni?”  lagi seakan bersenda.  Neor sudah faham maksud gadis itu.
“Tolonglah…”  keras benar bunyinya membuat Ezeti  di talian tertawa kuat.
“Sebenarnya saya dah pernah nampak dia sekali masa kita minum di restoran hari tu. Itulah perempuan yang awak perolokkan saya.”
“O, dah tangkap cintanlah ni?”
Neor senyum dan tertawa perlahan.
“Awak dah lupakan kekasih awal dan akhir awak ke?”
Neor terpukul.  Benar-benar terhenyak.  Potret sendiri dalam bingkai di dinding, ditongak lagi.
“Yang berlalu sudah saya biarkan berlalu, tak guna dikenangkan lagi…”  sedikit beremosi jawapannya meski seakan bersenda.
“Tapi awak pernah baritahu saya, tidak mungkin ada yang lain akan menempat di hati awak selepas perpisahan pertama dengan orang pertama?”
“Saya nak mulakan hidup baru. Awak selalu nasihatkan saya supaya melupakan hitam semalam, kan?  Awak kata, yang pahit boleh dimaniskan asal kita berusaha.  Sekarang saya nak berusaha menjadikan hidup saya manis.”
“Ya, memang saya suruh awak begitu, tapi sekarang, saya tengokawak macam sebaliknya.”
“Saya macam mana di mata awak?”
“Macam dah gila bayang.”
“Hei! Jangan serkap jarang.”
Ezeti tertawa sedikit kuat.
“Kerana nak melupakan semuanya maka saya nak mengisi kekosongan hati saya…”
“Itu saja sebabnya?  Nak memperjudikan Ira ke?”
“Zet, hati saya dah terbuka untuk mencari pengganti.  Kebetulan saya benar-benar tergoda dengan dia.  Jadi, salahkah saya mencuba nasib?”  sayu dan mendayu bunyinya.  Memang dia ingin merayu….
Ezeti tertawa lagi.  Kuat dan semakin kuat, berlangsung sedikit lama.
“Kenapa awak ketawa? Gila dah?”  Neor serius.
“Kelakar.”
“Apa yang kelakarnya?”
“Kelakar sebab awak cuba nak tipu diri awak sendiri dan berusaha untuk menipu saya.”
Neor terdiam, senyap.  Menyesal dia menggunakan Ezeti  untuk mengenali gadis itu lebih rapat.  Rasa benar-benar dimalukan.  Meski  terhenyak namun tidak mungkin dia berundur.
“Bahagian mana dia macam Fifei?”
“Saya tak kata mereka serupa?”
“Tak mungkin awak akan jatuh cinta pada yang tidak ada kaitan dengan cinta pertama.”
Neor mengeluh perlahan.  memang tidak mungkin dibohongi sahabat karibnya itu.  Dan memang dia hanya akan jatuh cinta pada gadis yang punya ciri-ciri seperti kekasih pertamanya.
Ezeti  tertawa lagi.  Tawanya sungguh melukakan.  Neor berasa sangat-sangat disakiti.
“Di mana awak kenal Fifei?”  mahu marah tetapi tidak ditemui rasa marah.  Mahu mengherdik namun tidak dipelajari ilmu begitu.  Akhirnya perlahan disoalnya Ezeti.
“Dari dalam diri  awak.”
            Neor mengeluh perlahan.  Jelaslah, Ezeti memang sahabat.  Dia bukan sahaja rakan seperjuangan tetapi benar-benar  sahabat sejati.
“Zet, saya  dah berjaya melupakan semuanya, tolong jangan kembalikan memori itu.  Jangan dipanaskan semula semangat lama saya, saya tak nak ingat lagi semua itu….”  Merintih dia, panas kulit wajah, diraup berkali-kali.
SorryNeor.”  Mendatar dia bernada kesal.  “Saya berusaha untuk bersenda, tak sangka awak serius malam ni.  Kenapa emosional sangat ni?  Semangat malam?”
“Boleh tak, saya kenal dengan kawan awak tu?”  itu juga pintanya.
“Boleh, apa salahnya.”
“Dia belum kahwin, kan?”
“Belum.”
“Balum bertunang?”
“Belum.”
“Hatinya belum berpunya?”
“Hei, itu awakkena tanya dia sendiri. Saya tak tau hatinya sebab tak nampak di mata.”
“Kan kawan baik awak? Tak kan awak tak tahu?”
“Tak tahu.”
“Bohong.”
“Kami berkawan cara professional.  Hal peribadi tak pernah saya bertanya dia.”
“Tak pernah dengar dia bercerita pasal teman lelakinya?”
“Teman lelaki dia adalah saya, teman wanita pun  saya.”  Tertawa lagi dia.
“Baiklah, kalau begitu, awak tolong bagi nombor telefon dia, nanti sayacalldia, tanya sendiri.”
“Amboi, nekatnya?”
“Saya tak boleh tunggu lagi.”
“Dah angau dah?”
Neor tertawa perlahan.
Semoga mentari yang terbit esok, membawa kepanasan yang bisa membakar semula semangatnya yang semakin mendingin.  Pesanan ringkas Ezeti  yang mencatat nombor telefon yang dipinta  dibaca pantas.  Ditekan nombor telefon itu, juga pantas.  Dia menunggu   lama, langsung tiada jawapan.  Dua kali dicuba, akhirnya dia mengalah. Mengeluh dia perlahan, nekat menunggu hari siang untuk meneruskan hasrat.

No comments:


Free shoutbox @ ShoutMix