Thursday, September 26, 2013

BIARKAN INDAH BERLALU @ SAKITNYA CINTA...

entry-content'>

Assalamualaikum, lama sudah saya tidak ke sini selepas memapar bab demi bab karya terkini SAKITNYA CINTA. Kenapa

Kerana kekangan waktu menghimpit, mendesak saya memberi lebih tumpuan kepada yang lain - Skrip drama. Pun begitu, hari ini saya masih mahu mencatat di sini tentang genre novel -BIARKAN INDAH BERLALU @ SAKITNYA CINTA.  Mengapa harus 2 novel itu?

Kerana 2 karya, 2 rasa, 1 jiwa. Saya mencintai 2 novel itu kerana Biarkan Indah Berlalu memapar getir nafas wanita - Indah Nur Iman. Rasionalnya? Indah terilham dari sifat Sumaiyah. Indah wanita yang sentiasa menjaga harga diri, peradaban, nama baik keluarga dan perhubungan kekeluargaan. Saya dihujani persoalan dan Biarkan Indah Berlalu pernah dicampak di hadapan saya. Kenapa?

Kerana wanita itu tidak gemar Indah mendiamkan diri selepas dicabul, hamil paksa dan dibuang keluarga. Katanya, wanita perlu bangkit, nyatakan kenapa dan siapa perentap maruahnya. Persetankan perkara lain, yang penting, diri sendiri. Saya akur, sesungguhnya saya juga dihambat kekeliruan sewaktu menggarap BIB. Kenapa?

Kerana saya tidak gemar Indah begitu. Tetapi selepas menyelami diri sendiri sewaktu seusia Indah, saya juga pasti akan mengambil pendekatan seperti Indah jika begitu adanya. Diam dan terus diam. Juga selepas saya menemui beberapa gadis yang pernah diperlakukan seperti Indah, mereka buntu, takut, malu dan pelbagai rasa. Hanya yang memandang pada zahirnya sahaja akan mendabik dada 'JIKA AKU JADI INDAH, AKAN AKU WAR-WARKAN SEANTERO, SIAPA PERENTAP NAFASKU' Itu jika ianya belum terjadi, apabila sudah di tempat Indah, lidah akan mengeras, bibir akan terkunci dan suara akan bergelam. Akhirnya berlakukan pembuangan bayi, pembunuhan bayi dan lebih teruk, gadis membunuh diri... 
Nauzubillah.

Setahun kemudian, saya perturunkan SAKITNYA CINTA yang judul asalnya - BAKAWALI KRISTAL. Sakitnya Cinta memperturunkan Neor sebagai pembawa cerita, disokong oleh Kristal Ezety, Bakawali dan Mutiara Hati. Ramai kurang menyenangi saya meletak Neor sebagai teraju utama, Kenapa?

Kerana pembaca mahukan dari wanita untuk wanita. Pengarang wanita, pembaca wanita, seharusnya wanita berada di hadapan cerita, membawa pengkisahan. Pun begitu saya mahu berlaku adil.  kepada siapa?

Kepada kaum Adam. Adalah tidak adil jika saya sentiasa meletak kaum Hawa sebagai meneraju sedangkan dalam Al-quran terlalu banyak kisahnya berterajukan watak lelaki yang hebat. Saya tidak sama sekali mahu menyamakan watak genre saya dengan kitab suci itu, Demi Allah, tapi tak salahkan? jika saya menimba ilham dari kesuciannya? Neor @ Reza saya sarungkan jesi artis - pelakon, penyanyi, pencipta lagu. Kenapa

Kerana golongan ini begitu dekat pada masyarakat. Penghibur adalah golongan anak seni yang sangat istimewa sifatnya walaupun ramai tidak menyedari. Mereka ini bertatih di landasan sendiri, membawa watak orang-orang dipersekitaran melalui bakat seni kurniaan Allah. Saya tidak mengkisahkan kehidupan golongan itu 100% tetapi Neor dan rakan-rakannya menjadi wakil kepada masyarakat. Neor adalah saya dan seluruh anak seni. Neor punya hati dan perasaan, punya senyum dan tangis sebagai teman seharian. Bohong jika ada yang mengatakan, hidup mereka sentiasa dirundung resah, derita dan air mata kecewa. Bohong juga jika ada yang mengatakan, hidup mereka sentiasa diselubung kegembiraan, gelak tawa dan air mata gembira. Sesungguhnya hidup ini seperti alam, dalam panas tiba-tiba hujan, selepas hujan akan datang pelangi. begitulah seadanya kehidupan ini dan Neor serta golongannya saya amanahkan membawa SAKITNYA CINTA.

  

No comments:


Free shoutbox @ ShoutMix