Saturday, December 31, 2011

Sastera 2011 penuh kontroversi

entry-content'>

ARKIB : 25/12/2011 UTUSAN MALAYSIA

Oleh S.M. ZAKIR


Tahun 2011 mengisi dunia sastera dengan banyak catatan sejarah, termasuk sejarah penting negara. Antaranya ialah dua sejarah besar dunia sastera dan bahasa Melayu ialah isu novel Interlok dan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Isu novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Husain tercetus apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) mencetuskan kontroversi perkataan 'Paria' yang terdapat di dalamnya.

Novel Interlok dikatakan mengandungi unsur sensitif kepada masyarakat India kerana memaparkan sejarah susur galur kedatangan India ke Tanah Melayu. Keadaan menjadi buruk apabila Interlok digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu, dengan memancing emosi masyarakat. Hujah secara intelektual dan faktual oleh para ilmuwan ditolak serta dikalahkan oleh sentimen melulu. Akhirnya Interlok dipinda. Namun ia tidak berakhir di situ apabila keputusan terbaru mengatakan Interlok ditarik daripada dijadikan teks Komsas.

Isu kedua ialah PPSMI, yang ditamatkan pelaksanaannya dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMBI). Namun keputusan untuk menamatkan PPSMI dibantah keras oleh golongan yang diketuai oleh PAGE. Pelbagai kempen dan tindakan dilakukan oleh PAGE dan penyokongnya sehingga memaksa kerajaan mengambil pendekatan lunak dalam menamatkan PPSMI.

Walau bagaimanapun, isu PPSMI tidak berakhir di situ apabila PAGE dan penyokong -penyokong terus bertindak memaksa kerajaan menarik balik keputusan agar PPSMI dapat terus dilaksanakan. Isu Interlok dan PPSMI memperlihatkan tindakan berkompromi hanya mengalah kepada tuntutan yang lebih bermain dengan sentimen dan andaian. Walaupun PPSMI tidak menyentuh secara langsung dengan dunia sastera kebangsaan, namun sebagai sastera yang mendokong nilai kebangsaan dan berdiri atas dasar bahasa Melayu, sebarang tindakan yang melemahkan bahasa Melayu akan turut memberikan kesan kepada dunia sastera kebangsaan.

Selain dua isu yang menyentuh jiwa dunia sastera kebangsaan tersebut, terdapat juga isu lain yang muncul bersangkutan dengan dunia sastera baik secara langsung atau tidak. Isu pemilihan dan kaedah pembayaran royalti teks Komsas juga menimbulkan banyak tanda tanya. Pemilihan teks Komsas yang baharu menimbulkan banyak kritikan termasuklah kaedah pemilihan yang tidak telus dan banyak diselubungi kabut, selain daripada pemilihan beberapa teks sastera yang lemah dan tidak sesuai untuk dijadikan bahan pendidikan di bilik darjah.

Lebih menyedihkan apabila kaedah pembayaran yang memberikan kuasa penuh kepada penerbit dan menentukan jumlah bayaran. Ini memberikan ruang kepada penerbit-penerbit yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menindas hak penulis. Malah tiada ketetapan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran ke atas jumlah royalti yang perlu dibayar kepada penulis. Keputusan jumlah royalti bergantung sepenuhnya ke atas penerbit dan terpulanglah kepada penerbit untuk membayar sesuka hati mereka.

Dalam perkembangan lain, pergolakan antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan syarikat konsesinya iaitu Dawama tidak dapat dijernihkan lagi. Kini tiba kepada titik noktahnya apabila DBP menamatkan kontraknya dengan Dawama. Konflik DBP-Dawama ini sebenarnya banyak memberi kesan kepada penulis khususnya dan dunia sastera umumnya. Penerbitan dan pemasaran buku yang sepatutnya berjalan lancar melalui pelaksanaan dasar pemberian konsesi ini tetapi tidak sebagaimana yang diharapkan. Pemasaran buku terbitan DBP di bawah Dawama bukan sahaja lembap malah statik, sehingga banyak buku yang diterbitkan berlonggok di stor.

Dunia sastera pada tahun 2011 juga menyaksikan kehilangan tokoh-tokoh besar dunia sastera dan bahasa Melayu. Antara tokoh yang pergi menyahut seruan Illahi dan meninggalkan jasa serta kenangan abadi ialah Hassan Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Amirul Fakir, dan Anas K Hadimaja. Pemergian Hassan Ahmad memberikan kesan yang besar terhadap perjuangan bahasa Melayu terutamanya menentang PPSMI. Begitu juga dengan pemergian Azizi menyaksikan kehilangan besar dalam dunia sastera. Apatah lagi pemergian Allahyarham Azizi diratap dengan rasa terkilan warga sastera untuk menyaksikan Allahyarham dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Sasterawan

Sepanjang tahun 2011 dunia sastera juga menyaksikan sejarah pencapaian yang gemilang. Dr. Ahmad Kamal Abdullah telah diumumkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-11, menjadikan beliau penyair keempat menerima Anugerah Sastera Negara. Pencapaian lain juga menyaksikan Shahnon Ahmad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mastera keempat dan S.M. Zakir sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award) 2011. Dalam perkembangan lain dunia sastera terus bergemerlapan dengan sayembara dan anugerah. Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) terus menjadi anugerah berprestij yang paling konsisten dalam perkembangan dunia sastera tanah air. HSKU yang kini berkerjasama dengan ExxonMobil telah memasuki tahun ke-26, dan menyaksikan ratusan penulis berbobot yang lahir daripada penganjuran yang berterusan ini. Keintiman Kumpulan Utusan dengan dunia sastera menyaksikan penglibatannya dengan pelbagai penganjuran acara sastera termasuklah Malam Puisi Utusan, sayembara penulisan novel cereka sains dan terbaharu ialah Hadiah Sako yang memasuki sayembara yang ketiga. Setelah hampir sepuluh tahun tertunda, kali ini Hadiah Sako dimenangi oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan dengan novel Penyeberang Sempadan.

Sementara PENA menyambut ulang tahun ke-50 dengan sambutan jubli emas yang gilang gemilang dan mencipta sejarah apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Abdul Razak pada 16 Disember lalu. Sambutan 50 tahun yang mendapat dokongan penuh Institut Terjemahan Negara (ITNM) menyaksikan keprihatinan Perdana Menteri terhadap warga sastera terutamanya dalam melihat pembangunan generasi pelapis iaitu para penulis muda. Perdana Menteri telah memberikan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk tujuan penerbitan buku dan bahan sastera yang akan dilaksanakan secara bersama oleh ITNM, Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan juga PENA. Dalam pada Perdana Menteri juga bermurah hati menyumbangkan RM1 juta kepada PENA demi membangunkan prasarana dan menyemarakkan dunia sastera.

Tahun 2012 tentunya akan memberikan ruang yang lebih mencabar kepada dunia sastera. Selain berdepan dengan gelombang komersialisme yang membunuh mutu dan sifat autentik karya sastera, dunia sastera juga berdepan dengan mitos tentang pupusnya industri perbukuan oleh perkembangan teknologi. Namun dunia sastera sepertimana kehidupan manusia itu sendiri sentiasa berjaya menyerap dan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Ini adalah kerana sastera ialah bahasa, seni dan fikiran. Selagi manusia menggunakan bahasa, seni dan fikiran maka selagi itulah sastera akan terus wujud dalam kehidupan

Saturday, December 24, 2011

KEMBOJA DI HATI bab 4

entry-content'>


"Papa kenapa ni? papa demam? Zalis ambilkan ubat."
Dia menggeleng berkali2. "Mama pergi di tarikh hari lahirnya. Apakah semua tak perasan?"
"Kami semua sedar hal itu papa, tapi apa blh kita lakukan?"
"Kenapa tak beritahu papa?"
"Untuk apa? semua itu janji Allah. Allah menjadikan, dipinjamkan mama kpd kita & Dia berkuasa mengambilnya kembali. Mama hak Allah, bukan milik kita."
Terpegun dia bijaknya anak gadis itu memujuknya begitu.
"Abang Jai kata begitu..."
"Papa tak sempat mengucap selamat ulang tahun kepada mama..."
"Tidak mengapa papa, papa tahu niat hati papa. Lagipun mama sudah tak perlukan ucapan begitu lagi, geruhnya melawan sakit lebih penting dari ucapan selamat."
"Papa kesal..."
"Kirimkan al-fatihah utk mama, relakan pemergiannya."

Friday, December 23, 2011

KEMBOJA DI HATI (bab 2)

entry-content'>


"Nak bincang perkara Alang. Apa pendapat haji?"
"Fasal apa?"
"Sakitnya teruk, dah berhari2 tak mkn tak minum. Nak dibawa ke hospital tak mahu dia."
"Boleh menentangkah dia, sedangkan nak buka mulut pun tak berdaya?"
"Memang tak boleh membuka mulut utk makan atau minum, tapi sebut perkataan hospital, menggeleng dia, keraskan badan."
"Sudah dibincang dgn Faisal?"
"Dia budak mentah lagi, saya rasa baik dengar pendapat yg lebih berusia sikit."
"Hari tu tanya Pak Majid, apa pendapatnya?"
"Dia tetap suruh ikut cara dulu2, berubat cara lama. Berdukun, berbomoh, menjamu. Tapi Faisal menentang, syirik katanya. Kurafat. Pening kepala saya, semakin besar budak tu semakin menyanggah adat kita. Byk yang dikatanya salah."
"Sudah diberitahu menantunya perkara ni? Menantunya doktor, elok tanya dia."
"Nak buat apa, Leha dah tak ada."
"Memang anaknya dah meninggal, tapi suami anaknya masih lagi menantu dia. Tidakkan putus perhubungan mentua & menantu hingga ke akhirnya."

Thursday, December 22, 2011

PENA

entry-content'>

Penulis terharu dana RM5 juta
Oleh Hafizah Iszahanid dan Latifah Arifin
bhsastera@bharian.com.my
2011/12/22
DANA RM5 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi melancarkan penerbitan karya bermutu penulis muda negara ini dilihat sebagai rahmat akhir tahun untuk dunia penulisan tanah air.

Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, menyifatkan dana itu sebagai sokongan kerajaan dalam memartabatkan sastera dan bahasa Melayu, selain melengkapkan peranan yang dimainkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“PENA sangat menghargai dan melihat ia sebagai penghargaan serta kepercayaan kerajaan kepada kami. Ia mencatat sejarah tersendiri dalam sejarah persatuan penulis di negara ini dan kami sangat bersyukur,” katanya ketika diminta mengulas berhubung perkara terbabit.
Najib mengumumkan dana yang bertujuan melaksanakan penerbitan karya asli penulis muda merentasi semua genre pada Majlis Makan Malam Bersama Perdana Menteri bersempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2011, Jumaat lalu, bagi meraikan ulang tahun ke-50 PENA.

Peruntukan RM5 juta itu akan diagihkan secara berperingkat selama dua tahun melalui Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITNM) iaitu RM3 juta akan disalurkan pada tahun ini, manakala bakinya tahun depan.

Program itu turut menyaksikan nama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) ditukarkan kepada ITBM selari dengan fungsinya sebagai agensi utama dalam industri penterjemahan dan pembukuan di negara ini.

Penerbitan karya asli penulis muda merentasi semua genre itu akan menyaksikan PENA selaku badan yang memantau dan memilih manuskrip bermutu, ITBM sebagai penerbit, manakala Percetakan Nasional Malaysia Berhad selaku pencetak.
Dr Mohamad Saleeh berkata, PENA selaku pemantau dan pemilih manuskrip akan mengadakan bengkel penulisan bagi memberitahu penulis karya yang diingini dan memenuhi tahap mutu ditetapkan dan dapat diterbitkan dalam masa tiga hingga enam bulan.

Selain peruntukan RM5 juta, Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membaik pulih Rumah PENA yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur, memandangkan pusat aktiviti persatuan terbabit sudah semakin uzur dimamah usia.

Ketua Satu, Persatuan Penulis Selangor (PPS), yang juga Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Hamzah Hamdani pula terharu dan terkejut apabila Najib mengumumkan dana untuk membantu penerbitan karya penulis.

“Sejak kebelakangan ini, sukar bagi persatuan penulis mendapat peruntukan daripada kerajaan dan peluang yang diperoleh PENA diharap digunakan dengan sebaik-baiknya bagi membantu penulis menerbitkan karya bermutu untuk bacaan masyarakat,” katanya.

Hamzah memaklumkan, GAPENA atau PPS sebelum ini pernah beberapa kali menyediakan kertas kerja dan memohon dana daripada kerajaan, tetapi ada beberapa halangan yang menyulitkan penyaluran dana berkenaan.

“Sebagai badan bukan kerajaan (NGO), kami tidak berhak mendapat peruntukan terutama dalam belanjawan. Apa yang kami harapkan keprihatinan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) untuk mengagih bajet bagi membolehkan penulis meneruskan perjuangan.

“Peruntukan yang diberikan juga selalunya tidak sampai puluhan ribu dan GAPENA terpaksa mengagih wang berkenaan kepada 23 persatuan penulis yang menjadi kerabatnya, sekali gus menjawab persoalan masyarakat mengapa kami tidak cergas dalam menganjurkan program,” jelasnya.

Ketua Satu, Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA), Jaafar Hamdan pula, meluahkan perasaan terharu dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi perhatian kepada nasib penulis di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan kerajaan melihat sisi lain yang turut memerlukan tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa dalam membantu memperkembang industri penulisan ke tahap lebih baik.

“Antara masalah besar dihadapi kebanyakan persatuan penulis ialah prasarana yang tidak mencukupi, selain memerlukan ruang lebih besar untuk menyerlahkan karya penulis menerusi media cetak dan elektronik.

“Kami mengharapkan mendapat ruangan penyiaran program atau malam puisi secara langsung di televisyen bagi membolehkan masyarakat mengenali pengkarya dan menarik minat mereka terhadap dunia sastera dan kepengarangan,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan menyediakan dana tahunan secara tetap untuk disalurkan kepada persatuan penulis bagi mengelakkan kelumpuhan aktiviti dan keghairahan penulis dalam menyumbang ilmu kepada

KEMELUT DBP LAGI

entry-content'>

Godam: DBP ‘nazak’, ITNM kembang sayap
Oleh Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my
2011/12/22
KETIKA pengarang khususnya kelompok muda bahagia dengan pengumuman dana RM5 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis malam bersempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional Ketiga, Jumaat lalu, satu khidmat pesanan ringkas (SMS) penulis terima.

“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) nazak, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) ambil alih tugas mereka. Tugas ITNM kini bukan saja terjemah buku, tetapi juga menerbitkan karya asli yang sebelum ini menjadi tanggungjawab DBP.”

Penulis mengucap syukur seribu rahmat akan kesudian kerajaan menyediakan dana terbabit kerana selama ini penulis sendiri sering tertanya-tanya mengapa tiada kemudahan sedemikian pada pembentangan belanjawan saban tahun.
Terasa ralat setiap kali pembentangan belanjawan berlalu kerana sentiasa ada aduan yang diterima pengarang dianiaya penerbit daripada segi bayaran royalti, penerbit enggan menerbitkan karya berat kerana modal belum tentu balik dan kegiatan terhalang oleh hambatan kewangan.

Sedangkan jika dilihat daripada prasarana dalam kerajaan, ketika ini negara sudah pun ada DBP, Kementerian Penerangan, Telekomunikasi dan Kebudayaan dan ITNM yang boleh menjaga kepentingan mereka, meskipun tidak boleh seratus peratus.

Tanpa menafikan sumbangan Kementerian Pelajaran yang berusaha membantu pengarang melalui pengenalan Komponan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) dan teks Sastera sebagai subjek, meskipun wujud rasa tidak puas hati berhubung pemilihan teks yang dibuat.

Secara pukul rata semua persatuan penulis baik negeri, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), apalagi Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) selaku badan induk persatuan penulis di negara ini, juga seolah-olah tampil tidak bergigi dalam hal membela kelompok pengarang.
Baguslah kini sudah ada dana yang boleh diharapkan bagi mempercepatkan penerbitan karya bermutu, meskipun disalurkan secara berperingkat, iaitu RM3 juta tahun ini dan RM2 juta lagi tahun depan, melalui ITBM.

ITNM yang kini bertukar nama sebagai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang akan membentuk kerjasama strategik dengan PENA serta Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), khabarnya sudah nampak jalan pantas lagi menjimatkan kos dalam penerbitan karya.

Penulis tidak terkejut dengan jalan pantas yang dapat dilihat kepimpinan ITBM memandangkan sejak ITNM dipimpin Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khir Ngadiron lebih empat tahun lalu, ia berjaya membina citra bertenaga dengan pelbagai penerokaan berani, tetapi dirancang teliti.

Daripada sebuah institusi yang dilihat sebagai berlegar dalam dunia penerbitan yang tidak mungkin membawa keuntungan dengan dana khas kerajaan saban tahun kerana bahan terbitan belum tentu terjual, ia tampil sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terus berdaya saing.

Justeru, tidak menghairankan apabila ITNM tersenarai sebagai satu daripada 28 GLC yang mencatat untung seperti disiarkan dalam Nanyang Siang Poa bertarikh 27 Oktober lalu, sehingga kakitangannya mampu lebar menerima bonus dua bulan gaji.

Baguslah Mohd Khir berjaya mengubah citra institusi pimpinannya sehingga disenangi pengarang veteran mahupun muda, ditambah kekerapan mengadakan pertemuan pengarang negara, meskipun sebelum ini penulis kerap ‘menjentik’ ITNM atas dasar tanggungjawab sebagai pembayar cukai.

Sebenarnya penulis faham mesej yang cuba disampaikan pengirim SMS berhubung penambahan tugas ITNM lalu menjawabnya seperti berikut, “Saya tak pelik dengan tugas tambahan ITBM kerana mereka pantas dalam mengembangkan sayap perniagaannya berbanding DBP yang terbelenggu dengan pelbagai kemelut tanpa kesudahan.”
Hendaknya dengan tugas tambahan ITBM itu akan meningkatkan semangat juang DBP untuk terus berdaya saing, meskipun penulis tahu sesetengah pegawai badan berkanun terbabit seolah-olah hilang tumpuan apabila DBP melaksanakan penstrukturan semula organisasi itu.

Penulis faham perjuangan memartabatkan bahasa dan sastera negara sejak mutakhir ini semakin ‘sakit’ lagi membebankan dengan perubahan persekitaran yang mencabar lagi melukakan, tetapi itulah tugas hakiki badan berkanun itu selari dengan matlamat penubuhannya pada 1956.

Penambahan tugas ITBM menguntungkan ramai pihak, meskipun sedikit sebanyak DBP berasa tergugat dan tercabar kerana ITNM asalnya adalah bahagian penterjemahnya yang dikeluarkan daripada organisasi terbabit serta seolah-olah ditelan oleh ,anak bilis!

Ketika semua tahu ‘perang’ DBP dengan Dawama Sdn Bhd yang kini masih dalam proses perbicaraan di mahkamah, penulis diberitahu syarikat konsesi itu kini diambil alih Utusan Print Corp dan sudah pun memasuki premis syarikat itu yang terletak di Ulu Klang, Kuala Lumpur.

Khabarnya Utusan Print Corp menguasai 30 peratus kepentingan dalam pengurusan baru dan bertanggungjawab menguruskan hal berhubung percetakan dan pemasaran, manakala baki 70 peratus dipegang DBP.

Pertemuan dengan kakitangan Dawama yang diberi notis cuti tanpa gaji sejak sebelum Aidilfitri lalu, sudah berlangsung baru-baru ini dan mereka ditawarkan untuk bekerja semula, tetapi kadar gaji yang ditawarkan 30 peratus lebih rendah daripada gaji semasa.

Wednesday, December 21, 2011

SINOPSIS KEMBOJA DI HATI

entry-content'>


Kisah kehidupan tragis, sedih dan suspen empat orang adik beradik remaja perempuan Zalis, Zahlia, Zira dan Zaza yg kematian ibu. Mereka belajar hidup berdikari, tanpa berharap bapanya Prof.Dr Imtizam yg hanya mementingkan kerjaya tanpa menghiraukan keluarga. Ibu mereka seorg kaunselor yg gigih dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya. Namun dia meninggal dunia kerana menghidap penyakit SLE.

Kematian Solehah bukan sahaja memberi tamparan hebat pd anak-anak tetapi juga kepada Imtizam. Imtizam berasa sangat kehilangan & diburu rasa bersalah sehingga takut berdepan dengan 4 orang anak gadis remajanya. Cuba didekati & di dampingi mereka demi menghibur anak-anak yang dikongkong kesedihan namun dia berasa diejek anak2 itu. Sudahnya dia mengurungkan diri melayan perasaan berteman bayangan Solehah.

Zalis anak sulung cuba memujuk untuk mengembalikan semangat namun saban hari dia melihat Solehah tersarung pad segenap perwatakan gadis 19 tahun itu sehingga kadang2 membuat alpa. Renungannya ke atas Zalis sering mendatangkan curiga kepada anak2 yang lain dan bapa mentuanya. Seorang demi seorang anak2 Imtizam dirundung permasalahan peribadi yang menuntut dia selaku ketua keluarga menumpu sepenuh perhatian.

Keadaan menjadi semakin kucar-kacir apabila pak lang (bapa Solehah) datang tinggal bersamanya. Pak lang memiliki saka belaan turun temurun dari generasi lamanya. Seluruh ahli rumah Imtizam hampir saban hari diganggu bayangan lembaga yg menakutkan. Akhirnya imtizam meminta bantuan Faisal, sepupu Solehah iaitu graduan usuludin dr Mesir. Dgn bantuan Faisal keyakinan anak-anak dapat dipulihkan iman & amal. Dari sekeluarga tidak menunaikan perintah Allah, sedikit demi sedikit Faisal menarik mereka ke jln yg benar termasuk Imtizam dan berusaha juga dia membaik pulih aqidah pak lang. Bukan mudah Faisal melakukan segalanya namun demi sayangkan keluarga & cinta Allah, berusaha dia melerai fahaman kolot pak lang yang menganggap saka belaannya adalah khadam yang diutus Tuhan untuk membantunya membantu masyarakat yang memerlukan perubatan cara tradisional. Perbutan Faisal mendapat tentangan makhluk halus belaan pak lang yang hampir mencederakannya.

Saturday, December 17, 2011

OMBAK RINDU YG MEMBADAI...

entry-content'>

Lihat juga sisi positif
Oleh Roslen Fadzil
roslenmetro@yahoo.com
Harian Metro 17 dis 2001

SAYA pernah berkata dalam ruangan Karpet Merah ini dua minggu lalu bahawa Ombak Rindu bukanlah filem yang sempurna. Alasan itu tersangatlah mudah. Ini kerana ia hasil buah fikiran dan kerja tangan manusia. Manusia yang saya maksudkan itu adalah Osman Ali yang dibantu sekumpulan lagi manusia lain yang kreatif.

Namun janganlah kita lupa dengan seorang lagi manusia yang penting dalam melahirkan idea dan cerita asal Ombak Rindu. Beliau tentulah novelis Fauziah Ashari yang saya hormati.

Setakat ini kita sudah lihat bagaimana hebatnya badai Ombak Rindu menghempas panggung. Sambutannya sungguh luar biasa. Kecil besar, tua muda, ramai sungguh yang keluar berbaris membeli tiket dan menonton filem yang mencetuskan fenomena ini.

Ada yang datang dengan nenek, ada yang membawa ayah ibu dan ramai sekali yang ajak kawan-kawan. Bukan saja mereka yang jiwang-jiwang malah saya dengar ramai Abang Motor, Abang Askar dan Mat Rempit pun tewas dengan filem yang melankolia ini.




Sana sini orang bercakap mengenai Maya Karin, Aaron Aziz, Bront Palarae dan Lisa Surihani. Tidak kurang juga yang menyampah dengan jalan gedik Datin Sufiah lakonan Azizah Mahzan.



Namun dalam ramai yang sukakan filem ini, ada juga pihak yang kurang senang di luar sana. Macam-macam komen dilemparkan termasuklah ia filem yang mencemarkan kesucian Islam melalui jalan cerita, perlakuan watak-wataknya. Teruk sangatkah Ombak Rindu?

Bukan saja pengkritik filem, saya lihat ada kelompok orang seni sendiri dengan lancang menghentam filem ini di laman sembang sosial dan mengeluarkan bermacam hujah dan khutbah. Aduh, dah macam ustaz dan ustazah!

Mereka mempersoalkan watak ‘ustazah’ Izzah walhal dia sebenarnya mengikut kata Osman Ali, hanyalah gadis kampung yang ada sedikit pengetahuan untuk mengajar kanak-kanak membaca mukaddam.

Perkara ini biasanya berlaku di kampung. Dengan erti Izzah bukanlah ustazah yang macam di sekolah atau yang beriya-iya memasuki program realiti TV Ustazah Pilihan.

Dari sisi jalan cerita filem Ombak Rindu, Izzah adalah mangsa keadaan atau lebih tepat lagi mangsa lacur ayah saudaranya sendiri. Ia sesuatu yang tidak mustahil berlaku dalam masyarakat kita kerana dugaan hidup buat diri manusia tidak kenal pangkat atau darjat.

Sudah banyak cerita menggemparkan yang kita dengar selama ini berlaku kepada golongan celik agama selain golongan suka bertopengkan Islam untuk kepentingan diri sendiri.

Kita pernah mendengar kisah panas seperti ustaz yang bermain kayu tiga dan penyanyi nasyid yang dikatakan menggoda isteri orang. Ini semua membuktikan kita semua hanyalah manusia yang tidak sempurna. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja - doktor, guru, mekanik, tukang masak, nelayan dan juga wartawan.

Melihat dari sudut cerita Ombak Rindu, Izzah dalam keadaan yang tertekan, akhirnya berjaya juga melembutkan hati Hariz yang hidup bertuankan nafsu agar bernikah dengannya. Semua ini terjadi selepas Hariz melihat Izzah sebenarnya seorang wanita yang mulia dan suci. Ia satu niat dan tindakan Izzah yang amat positif.

Di samping itu, Ombak Rindu juga menonjolkan bahana fitnah dan tamak haloba boleh memporakperandakan kehidupan manusia. Watak hitam ini diserahkan kepada Azizah Mahzan yang dia nyata berjaya memikul tugas itu dan membuatkan penonton jadi meluat.

Saya merasakan Ombak Rindu adalah filem cinta yang berasaskan sebuah novel cinta yang popular. Ia bukanlah filem dakwah yang berat seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, kalau pun hendak diberi misalan.

Watak Izzah adalah watak yang biasa kita lihat di kampung dan wanita bertudung hari ini wujud di mana jua, baik di dalam Parlimen mahupun di pasar borong.

Ombak Rindu bagi saya hanyalah satu cebisan kisah yang dijadikan filem dan ditokok tambah dengan drama, muzik dan dan segala mainan yang mengusik jiwa. Ada masanya kita terasa macam tengok filem Hindustan pula.

Kalau hendak didebatkan dari segi lakonan tanpa pegang-pegang antara lelaki dan wanita, kita bukannya tidak pernah menghasilkan filem seperti itu. Masih ingat filem Syurga Cinta lakonan Awal Ashaari dan Heliza AF? Kenapakah filem itu tidak mengundang debat atau pujian di laman sosial? Sebab ia tidak box-office macam Ombak Rindu?

Apapun, saya harap, janganlah pihak yang berkenaan itu sangka semua penonton Ombak Rindu itu buta hati dan pendek akal. Ramai sekali golongan terpelajar keluar menonton filem itu dan masing-masing boleh menilai sendiri ia hanyalah sebuah filem untuk berhibur dan mendapat beberapa pengajaran daripada kisahnya. Kelemahan yang ada tentu kita akan cuba baiki dalam karya seterusnya
- roslenmetro@yahoo.com

Friday, December 16, 2011

Novel Interlok ditarik sebagai teks komponen sastera

entry-content'>

16/12/2011 8:54pm (utusan)


MELAKA 16 Dis. - Kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menggunakan novel Interlok yang menjadi buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, perkara itu telah diputuskan kerajaan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan berharap akan diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.

Beliu berharap penarikan balik novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekali gus menamatkan kontroversi yang ditimbulkan sebelum ini.

"Menteri Pelajaran telah bersetuju tidak akan menggunakan buku ini mulai tahun hadapan dan saya minta pengumuman rasmi mengenainya dapat dibuat dalam tempoh terdekat agar tiada lagi pertikaian dibangkitkan oleh mana-mana pihak,” katanya. - BERNAMA

Thursday, December 15, 2011

Godam: 'Apa ada pada Ombak Rindu'

entry-content'>

Bersama Salbiah Ani
bhnews@bharian.com.my
2011/12/15

SEPANJANG tahun ini hanya dua karya sastera yang mendapat perhatian daripada orang di luar bidang kesusasteraan, iaitu Badai Semalam karya Khadijah Hashim yang diadaptasi ke teater dan Ombak Rindu (Fauziah Ashari) diangkat ke filem.

Badai Semalam yang dipentaskan di Istana Budaya mendapat sambutan dan diiringi dengan Pameran Lukisan Khadijah Hashim: Warna Alam, di samping Bicara Karya Badai Semalam sempena Minggu Seni Kuala Lumpur 2011.

Ini bukan kali pertama karya Khadijah di adaptasi ke bahan tara lain bagi membolehkan orang di luar bidang sastera turut menikmati hasilnya kerana sebelum ini dua karyanya, Mira Edora diangkat ke filem pada 1990, manakala Bicara Hati pada 2004 dengan judul, Pelangi Pagi.
Kesilapan Fauziah ialah terlalu ghairah untuk melihat novelnya diterbitkan pada 2002 kerana ketika itu pengarang ini belum punya nama apalagi pengikut sehingga cuai sewaktu menandatangani perjanjian penyerahan hak penerbitan.
Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1999 ini sentiasa membenarkan pihak mana juga untuk memilih karyanya diangkat ke filem, teater, drama atau diterjemahkan ke bahasa asing, walaupun ada perkara yang ‘mengusik’ jiwanya ekoran perubahan medium.

Berbeza dengan sikap sesetengah nama besar dunia sastera tanah air seperti seorang Sasterawan Negara yang melarang karyanya diadaptasi ke teater mahupun filem tanpa ‘sentuhan’ daripadanya, selepas sebuah karyanya diangkat ke filem pada 1982 dianggap gagal menerapkan estetika novelnya.

Pengarang novel Ali Setan, Ahadiat Akhashah Khairuddin yang menulis lebih 60 karya bagi memenuhi selera remaja, tidak berdepan masalah apabila novelnya itu diangkat ke filem dengan judul sama kerana kebetulan penerbitnya adalah bapa saudaranya dan beliau turut terbabit sama.

Menjadi hak pengarang sama ada untuk memberi kebenaran atau tidak, demi menjaga kepentingan diri, iaitu untuk mendahulukan populariti atau pulangan honororium, tetapi pengarang yang bijak akan membuat percaturan untuk kepentingan kedua-dua aspek itu sejak awal penerbitan karya lagi!
Dalam kes Ombak Rindu, Fauziah berasa dirinya teraniaya apabila novelnya yang diangkat ke filem mencatat kutipan kasar lebih RM9 juta, tetapi dirinya hanya menerima bayaran RM1,600 daripada penerbit bukunya, Alaf 21 Sdn Bhd.

Alaf 21 berbuat demikian kerana mereka menerima RM4,000 daripada penerbit filem, Tarantella Pictures Sdn Bhd, selepas bersetuju dengan jumlah bayaran terbabit kerana penerbit novel tidak menyangka karya yang diterbitkan pada 2000 akan mendapat sambutan hangat apabila difilemkan!

Tiada apa yang boleh dilakukan kerana jika tindakan undang-undang diambil sekalipun, keputusan pasti tidak akan memihak kepada Fauziah mahupun Alaf 21 kerana segala-galanya berlangsung menurut lunas undang-undang.

Dengan perkiraan ini, Fauziah tidak boleh menuding jari kepada sesiapa dan terpaksa ‘gigit jari’ walaupun filem yang diangkat daripada novelnya itu mengatasi kutipan kasar The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1, pada tayangan hari pertama, iaitu RM750,000!

Fauziah tentunya tidak boleh berharap Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) umpamanya untuk membelanya, memandangkan penulis yakin beliau bukan ahli seperti ramai pengarang kreatif popular lainnya dan sesetengah pengarang berjenama kerana lazimnya karya mereka laku di pasaran!

Kesilapan Fauziah ialah terlalu ghairah untuk melihat novelnya diterbitkan pada 2002 kerana ketika itu pengarang ini belum punya nama apalagi pengikut sehingga cuai sewaktu menandatangani perjanjian penyerahan hak penerbitan.

Ini kesilapan yang paling kerap dilakukan pengarang baru di negara ini kerana mahu segera mencipta nama atau tertekan dengan masalah kewangan, sehingga ada yang sanggup menerima bayaran selepuk dan apabila karya ‘meletup’, mereka penuh kesal seperti cacing kepanasan!

Inilah inti pati yang ada dalam Akta Hak Cipta yang perlu diberi perhatian oleh pengarang apalagi yang menjadikan dunia penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa kerana ia sebenarnya melindungi hak pengarang, tetapi dengan syarat mereka memastikan hak cipta tidak dikorbankan!

Penulis tidak nafikan ada penerbit filem atau drama yang tiada berperi kemanusiaan sehingga sanggup mengangkat novel ke drama tanpa mendapatkan izin pengarang dan penerbitnya terlebih dulu seperti yang menimpa novel, Hartini karya Aziz Afkar.

Hartini yang 15 kali diulang cetak dan pertama kali diterbitkan pada 1967, menemui khalayak sastera apabila Creative Enterprise Sdn Bhd mencetaknya semula pada 1994 dan diulang cetak, bermula tahun berikutnya.

Tragedi Hartini bermula apabila BNE Studio dan Erma Fatimah mengadaptasi novel Allahyarham tanpa mendapatkan kebenaran walaupun Aziz Afkar hakikatnya masih boleh dikesan, sekiranya ada kesungguhan mencarinya.

Dalam wawancara penulis dengan Allahyarham yang disiarkan dalam halaman Sastera, Berita Harian, bertarikh 8 Oktober 2001, `Orang seni mesti belajar hormati pengkarya', dapat dikesan kekecewaan Allahyarham berhubung perkara terbabit.

Tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Mac 1995, berkesudahan ditolak dengan kos pada 2006, sebelum Allahyarham Abdul Aziz Afkar @ Hussin Ismail, 56, meninggal dunia akibat penyakit saraf pada 11 Januari 2007.

Fauziah perlu menganggap durian runtuhnya adalah pada novel dan bukan filem kerana sudah menerima RM219, 845,09 untuk royalti sepanjang Ombak Rindu dicetak 23 kali dan kehadiran filem itu menjulang semula novel terbabit sehingga masuk dalam senarai novel paling laris di pasaran.

Usahlah dipanjangkan lagi kes ini kerana bimbang akan lebih banyak perkara mengaibkan terdedah seperti pendedahan Alaf 21 bahawa novel itu sudah lima kali disunting penyunting kanan, dengan proses susunan semula plot, nilai moral dan kesinambungan bab sebelum diterbitkan pada 2002!

Rendahnya nilai novel ke filem

entry-content'>

Dari UTUSAN MALAYSIA 14 DIS. 2011

FILEM yang diadaptasi daripada novel atau buku bukanlah perkara baru. Ia sudah lama diamalkan dalam mana-mana industri filem di dunia termasuk di Malaysia. Kebanyakan buku atau novel yang diangkat ke filem adalah karya yang mempunyai tarikan yang tersendiri.

Kalau kurang berkualiti sekalipun, novel yang diangkat biasanya popular di kalangan pembaca. Contohnya, novel cinta yang mudah membuai perasaan. Cuma, tidak semua filem yang diadaptasi daripada novel dijamin mendapat sambutan.

Dalam konteks dunia perfileman tempatan pernah ada beberapa filem yang diangkat daripada novel tetapi gagal di pawagam. Misalnya, Jogho karya S. Othman Kelantan yang difilemkan oleh U-Wei Haji Saari. Filem itu banyak dijaja di festival filem luar negara. Tetapi sayangnya, kutipan tiketnya tidaklah bertaraf box-office.

Bagaimanapun, menjadi bonus jika sesebuah novel itu bukan sahaja mendapat sambutan para pembaca, malah turut bertaraf pecah panggung selepas ia diangkat ke layar perak. Novel Ombak Rindu nukilan Fauziah Ashari adalah salah satu buktinya.

Sejak sembilan tahun lalu lagi, Ombak Rindu sudah berjaya membuatkan penerbit dan penulisnya tersenyum lebar. Sebab itu, apabila ia terpilih untuk diangkat ke layar perak sepatutnya ada kepekaan dan nilai penghargaan yang tinggi pada naskhah itu supaya tidak timbul masalah dan rungutan di kemudian hari.

Ombak Rindu terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. pada 2002 bukan sahaja melayakkan penulisnya mendapat royalti lebih RM219,000 hasil jualan novel itu. Malah, filem Ombak Rindu arahan Osman Ali itu kini mencecah kutipan tiket lebih RM6 juta sejak tayangannya di pawagam 1 Disember lalu.

Senario itu membuktikan keupayaan Fauziah dan Osman dalam menterjemahkan karya itu mengikut medium masing-masing. Namun, apa juga kejayaan filem Ombak Rindu, kredit seharusnya diberikan lebih kepada Fauziah selaku pencetus idea asal naskhah tersebut.

Ini kerana, apabila ada mana-mana penerbit yang berminat mengangkat sesebuah novel ke filem maka sudah semestinya naskhah itu mempunyai tarikan tersendiri. Pihak penerbit mahupun pemegang hakcipta karya itu seharusnya peka dan tahu meletakkan harga produk-produk mereka.

Ia bagi mengelakkan sesebuah karya itu dipandang ringan oleh pihak-pihak lain. Novel sama juga medium lain sebagai salah satu wahana seni yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Dalam isu novel Ombak Rindu tarikan naskhah itu sepatutnya dihargai oleh penerbit.

Soal sebelum ini tiada pihak yang berminat mengangkat novel yang menarik seperti Ombak Rindu menerusi medium drama atau filem tidak timbul. Apa yang penting bukan mudah mahu menggamit emosi para pembaca dalam mengabiskan novel setebal 563 muka surat itu.

Kalau tidak ada penerbit yang berminat mengangkat novel atau buku yang hebat masyarakat keseluruhannya yang akan rugi kerana tidak dapat berkongsi pengalaman daripada cetusan idea-idea daripada adaptasi itu.

Daripada sudut lain ia juga ada kaitan dengan maruah dan taraf novel dan buku itu sendiri dalam konteks sebagai agen membentuk masyarakat membaca. Secara tidak langsung ia seolah-olah memijak peranan dan kekuatan yang ada pada novel lebih rendah daripada filem.

Hakikatnya baik novel mahupun filem kedua-duanya mempunyai peranan tersendiri.

Novel membawa para pembaca menyelami setiap patah perkataan dalam masa berjam-jam atau berminggu-minggu. Tetapi filem mampu menterjemahkannya melalui audio dan visual dalam masa dua jam.

Isu yang tercetus atas kontroversi Fauziah yang mengeluh kerana bayaran royalti yang diberikan oleh penerbit Ombak Rindu sebanyak RM4,000 agak kecil. Ada juga yang kata nasi sudah menjadi bubur apatah lagi ia muncul selepas filem itu mendapat sambutan.

Selepas ini baik penerbit, penulis mahupun pemegang hakcipta sesebuah novel seharusnya meletakkan harga dan maruah atas produk-produk mereka. Soal ada atau tidak penerbit yang mahu mengangkatnya ke medium filem itu perkara kedua.

Jika novel itu layak untuk diangkat ke layar perak, ringgit dan sen bukan persoalannya. Penerbit yang berminat untuk mengadaptasi mana-mana novel ke filem perlu membayar harga yang ditetapkan.

Novel yang menarik tetap hebat di hati pembaca biarpun ia tidak akan popular atau kurang mendapat sambutan di filem.

Apa yang penting novel mempunyai kelas dan peminatnya sendiri. Maruahnya harus dijaga, selain dihargai oleh pihak yang mahu mengangkatnya ke filem.

Friday, December 9, 2011

Isu Ombak Rindu: Fauziah sudah terima RM219,000

entry-content'>

Oleh : SH ONLINE/NURHAZLIN LYDIA MOHAMAD NAZRI
Tarikh : December 9, 2011 (SINAR HARIAN)

SHAH ALAM – Penerbit Alaf 21 Sdn. Bhd., Datuk Hussamuddin Yaacub hari ini tampil memberi penjelasan sebenar berhubung kenyataan penulis asal novel Ombak Rindu, Fauziah Ashari yang mengatakan beliau tidak menerima bayaran setimpal selepas karyanya diangkat menjadi filem.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (KMK) berkata, sikap Fauziah disifatkan sebagai tidak bersyukur tetapi tetap memaafkan tindakan penulis tersebut yang dilihat seperti tidak memahami kandungan kontrak yang ditandatangani sebelum ini.

“Pihak kami telah menjelaskan kepada penulis-penulis kami untuk membaca dan memahami sepenuhnya kandungan kontrak sebelum tandatangan”.

“Malah, di dalam kontrak, terdapat klausa yang menyatakan pihak penerbit boleh melakukan apa sahaja kepada hasil karya penulis sama ada diadaptasi kepada pelbagai bentuk tanpa perlu merujuk kepada penulis,” katanya dalam sidang media, di Auditorium KMK, pagi tadi.

Sehubungan itu, Hussamuddin mengingatkan penulis-penulis baru supaya meneliti dan memahami kandungan kontrak bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku.

Memandangan ini merupakan pengalaman pertama oleh pihak penerbit, Hussamuddin tetap memaafkan Fauziah dan enggan mengenakan tindakan undang-undang tetapi Fauziah perlu memberi penjelasan kepada umum mengenai hal sebenar.

Sementara itu, isu bayaran tidak berbaloi yang dibangkitkan Fauziah sebelum ini adalah tidak tepat.

Hussamuddin berkata, Alaf 21 mengakui yang mereka sebagai penerbit eksklusif novel hanya menerima RM4,000 daripada Tarantella Pictures untuk menjadikan Ombak Rindu menjadi sebuah filem.

“Fauziah menerima 40 peratus dari jumlah tersebut iaitu RM1,600 dan selebihnya milik Alaf 21. Untuk pengetahuan semua, bukan strategi kami (Alaf 21) meminta bayaran lumayan dari pihak penerbit filem.

“Projek filem adaptasi ini merupakan satu langkah promosi untuk melariskan kembali jualan buku yang kini sudah kembali dicetak sebanyak 40 ribu naskah,” katanya.

Katanya, sekiranya cetakan baru ini habis terjual (kini 20,000 naskah laris), Fauziah bakal menerima RM50 ribu dalam bentuk royalti seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

Dalam pada itu, Hussamuddin turut menjelaskan bahawa novel Ombak Rindu sebelum ini sudah tercetak sebanyak 23 kali dan Fauziah sudah menerima lebih RM219,000 dalam bentuk wang royalti sejak jualan pertama sekitar tahun 2002.


Free shoutbox @ ShoutMix